SIBU: Polis menahan enam orang termasuk dua dipercayai menjadi bapa dan ibu ayam sebuah rumah maksiat di ladang kelapa sawit terpencil di Rantau Panjang, di sini malam kelmarin.
Seramai 27 anggota polis terdiri daripada tiga pegawai termasuk Unit K9 dan lima pegawai Jabatan Imigresen menggunakan lapan kenderaan melakukan serbuan selama empat jam bermula jam 9 malam.
Polis menjalankan serbuan ke atas ladang terbabit setelah menerima laporan penduduk kampung sebelum ini, mendakwa ladang terpencil itu menjalankan kegiatan maksiat.
Semasa dalam perjalanan ke lokasi serbuan, kehadiran polis disedari seorang lelaki sebaik sahaja tiba di ladang tersebut.
Lelaki terbabit kemudian memecut laju motosikalnya diikuti lebih 20 pelanggan premis pelacuran terbabit turut melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Polis mendapati 10 motosikal ditinggalkan di pekarangan premis terbabit.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun difahamkan warganegara Indonesia yang dipercayai sebagai bapa dan ibu ayam.
Polis menemui tujuh pasport milik warganegara Indonesia di dalam kenderaan pacuan empat roda lelaki terbabit yang diparkirkan di hadapan premis tersebut.
Menurut polis, premis kayu dua tingkat terletak dalam ladang itu disewakan kepada wanita Indonesia terbabit dan dikatakan digunakan sebagai sarang pelacuran.
Premis terbabit mempunyai dua bilik di tingkat bawah dan dua bilik di tingkat pertama dengan menyimpan banyak tilam.
Sebuah kantin kayu dibina di hadapan premis terbabit untuk kegunaan hiburan seperti karaoke.
Difahamkan banyak pekerja ladang warga asing menjadi pelanggan tetap premis terbabit pada lewat malam.
Berikutan serbuan di premis terbabit, lelaki berusia 20 tahun telah membawa polis ke kuarters pekerja berdekatan.
Kebanyakan pekerja sedang tidur apabila polis datang.Polis kemudian memeriksa identiti mereka.
Hasil pemeriksaan, polis menahan seramai 30 warganegara Indonesia termasuk lapan wanita kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tahanan lelaki dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu, manakala tahanan wanita ditempatkan di Balai Polis Sungai Merah.
Suspek bapa dan ibu ayam turut ditahan bagi siasatan lanjut. - utusan borneo
(gambar hiasan)
No comments: