Seo Services

DNA Babi: Cadbury Bantu Siasatan Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memandang serius isu DNA khinzir yang dikesan di dalam dua produknya dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.

Ketua Unit Hal Ehwal Korporat syarikat itu, Raja Zalina Raja Safran berkata siasatan itu dianggap satu keutamaan yang perlu disegerakan memandangkan isu halal amat penting dalam kalangan masyarakat Islam.

"Aspek halal juga teramat penting bagi syarikat ini.

Kami serius dalam memastikan semua produk kami yang dikeluarkan di Malaysia halal," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, Ahad.

Raja Zalina berkata syarikat itu telah menarik balik serta merta dua produknya iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov, 2014) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan, 2015).

"Kami memberi jaminan kepada pengguna semua produk lain yang dikeluarkan di sini tidak terbabit dengan ujian berkenaan," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Sabtu, mengesahkan dua produk terbabit mengandungi DNA khinzir dan hasil analisis itu tersebar luas menerusi media sosial.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kementerian Kesihatan, Jabatan Standard dan Jabatan Kimia, Isnin, berhubung isu penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan, Ahad, berkata pihaknya akan memanggil syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung perkara itu.

"Segala keputusan mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kepada media sebaik sahaja mesyuarat selesai.

"Sehubungan dengan itu JAKIM memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas terhadap isu berkenaan bagi mengelakkan keresahan awam," katanya dalam kenyataan itu.

JAKIM, Sabtu menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA khinzir.--BERNAMA

DNA Babi: Cadbury Bantu Siasatan Pihak Berkuasa DNA Babi: Cadbury Bantu Siasatan Pihak Berkuasa Reviewed by Admin on May 25, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.