Seo Services

MH370: Tiada sebarang tanda serpihan pesawat dijumpai

KUALA LUMPUR - Kawasan mencari di sekitar tempat pengesanan isyarat akustik di selatan Lautan Hindi telah diketepikan sebagai tempat bersemadinya pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.   

Perkara itu dinyatakan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang menyelia usaha mencari pesawat terbabit.   

"Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengumumkan bahawa usaha mencari di sekitar kawasan isyarat akustik dikesan kini dianggap selesai.      

"Dan, berdasarkan keputusan profesionalnya, kawasan itu kini boleh diketepikan sebagai tempat bersemadinya MH370," kata JACC dalam kenyataan di sini, hari ini.   

Tengah hari semalam, kapal selam kecil Bluefin-21 selesai menjalankan misi terakhirnya mencari di sekitar tempat isyarat berkenaan dikesan pada awal April lepas oleh alat pengesan pinger yang ditunda kapal Australia, Ocean Shield.

Berikutan analisis yang dilakukan terhadap data yang dikumpul dalam misi berkenaan, kenyataan itu menyatakan: "Hasil daripadanya, JACC boleh menyatakan bahawa tiada sebarang tanda serpihan pesawat dijumpai oleh kenderaan dalam air autonomi itu sejak ia menyertai usaha mencari (pada 14 April)."   

JACC berkata, sejak terlibat dengan usaha mencari itu, Bluefin-21 meneroka lebih 850 km persegi dasar laut untuk mencari tanda-tanda yang mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.

Ocean Shield telah meninggalkan kawasan pencarian malam tadi dan dijangka tiba di Fleet Base West pada Sabtu ini.   

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Kuala Lumpur pada tengah malam 8 Mac.   

Berikutan kejadian itu, gerakan mencari yang membabitkan pelbagai negara dilancarkan pada mulanya di Laut China Selatan disusuli kawasan di Selat Melaka, Laut Andaman dan seterusnya di Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia.   

JACC menyatakan kumpulan kerja yang mempunyai kepakaran mengenai satelit terus membuat kajian semula dan memperhalusi analisis terhadap data radar, data satelit dan data prestasi pesawat untuk menentukan tempat pesawat berkenaan bermungkin besar jatuh ke dalam air. 

"Dapatan kajian semula itu akan diumumkan pda masa yang sewajarnya," kata JACC. - Bernama

MH370: Tiada sebarang tanda serpihan pesawat dijumpai MH370: Tiada sebarang tanda serpihan pesawat dijumpai Reviewed by Admin on May 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.