Kuching, 5 Mei - Polis Sarawak menerima 1,636 permohonan jawatan kostabel daripada kaum Cina menerusi pengambilan khas selama sebulan yang berakhir 30 April lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon berkata jumlah permohonan tersebut adalah paling tinggi dicatatkan mengatasi permohonan di negeri-negeri lain.
"Seramai 1,636 orang telah membuat permohonan, dari jumlah itu 60 peratus adalah lelaki, manakala 40 peratus adalah wanita. Jumlah yang dicatatkan adalah paling tinggi mengatasi negeri-negeri lain, satu pencapaian baik untuk Polis Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.
Law akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuatkuasa hari ini.
Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung akan memangku jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak buat sementara waktu.
Law telah berkhidmat sebagai pegawai polis di negeri ini lebih enam tahun dan beliau memulakan tugasnya sebagai Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak pada 1 Okt 2007, sebelum dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 22 Disember 2010. -BERNAMA
No comments: