Seo Services

Tiada Kesan Besar El Nino Ke Atas Sektor Sawit Sarawak: Ta Ann

SIBU, 26 Mei (Bernama) -- Fenomena cuaca kering El Nino tidak akan memberi kesan yang besar ke atas sektor sawit di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann Holdings Bhd, Datuk Wong Kuo Hea, berkata ini adalah kerana lebih daripada 40 peratus ladang kelapa sawit di negeri ini adalah di kawasan tanah gambut.

"Pengurusan air dalam kawasan-kawasan tanah gambut akan terus menyediakan air bagi pokok-pokok sawit.

"El Nino akan memberi kesan yang lebih besar ke atas pokok-pokok yang ditanam di kawasan tanah galian," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini Isnin.

Bagi Ta Ann, kata Wong, lebih daripada 75 peratus ladangnya adalah di kawasan tanah gambut.

Beliau juga berkata syarikat itu sedang menambah baik dan meningkatkan penggunaan mesinnya dalam penuaian tandan buah segar (FFB).

"Sebagai contoh, di ladang Igan kami, penggunaan mesin penuai adalah kira-kira 70 peratus dan di satu kawasan lain 80 peratus.

"Kami akan terus menggunakan mesin bagi tujuan itu kerana ini lebih cekap," katanya.

Selain itu, kata beliau, kini semakin susah untuk mengambil tenaga buruh asing, terutamanya dari Indonesia.

"Apabila pokok sawit semakin matang, tandannya akan menjadi semakin besar dan lebih berat untuk dibawa secara manual," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013 Ta Ann mencatatkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM92.7 juta, meningkat 80 peratus daripada tahun sebelumnya, manakala pendapatan kumpulan susut tiga peratus kepada RM769.9 juta.

Pengerusinya, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, berkata ini bersamaan dengan pendapatan 25.09 sen sesaham.

"Kami menjangkakan prospek yang lebih cerah dalam tahun akan datang memandangkan harga minyak sawit mentah telah melepasi paras RM2,700 setan metrik pada Februari tahun ini.

"Memandangkan keluasan ladang yang matang meningkat sebanyak 2,400 hektar kepada 28,000 hektar, kami menjangka pengeluaran FFB kami bertambah sebanyak 12 hingga 14 peratus," kata beliau.

Bagi bahagian kayu dan produk kayu, kata beliau, pasaran India bagi kayu lapisnya "kelihatan sihat".

"Kami berharap permintaan bagi kayu lapis dari Jepun akan meningkat apabila kerja-kerja prasarana dan pembinaan bermula sebagai persediaan bagi Sukan Olimpik Tokyo pada 2020, " tegasnya.

-- BERNAMA
Tiada Kesan Besar El Nino Ke Atas Sektor Sawit Sarawak: Ta Ann Tiada Kesan Besar El Nino Ke Atas Sektor Sawit Sarawak: Ta Ann Reviewed by Admin on May 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.