KUCHING: Johor Darul Takzim (JDT) mencatat nama selaku juara baharu Liga Super bagi musim 2014 selepas menundukkan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri kelmarin. Skuad kendalian Bojan Hodak mengesahkan kejuaraan setelah berjaya mengumpul 44 mata, meninggalkan pesaingnya Selangor di tangga kedua dengan 41 mata sementara Sarawak berpuas hati di tangga ketujuh dengan 30 mata.
Ia kejayaan pertama Hodak selepas beliau mengambil alih tugas dari bekas jurulatih Cesar Jemenez.
“Saya sangat gembira selepas tertekan sepanjang musim kerana kita diletakkan harapan untuk memenangi semua pertandingan.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi ia hasil usaha keras Cesar Jemenez, pihak pengurusan dan pemain JDT sendiri,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Di sebalik kejayaan menewaskan Sarawak di laman sendiri, Hodak tetap memuji aksi anak-anak buah Robert Alberts yang hampir mengecewakan impian mereka untuk menjulang kejuaraan pada tahun ini.
“Sarawak memberi tentangan sengit dan mereka bermain dengan baik. Sokongan padu dari penonton semakin menyemarakkan semangat pemain-pemain mereka.
“Tetapi saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan impian untuk memburu kejuaraan menjadi perangsang kepada mereka memberi persembahan terbaik sekali gus mengutip tiga mata penting,” tambahnya.
Sementara itu, pengendali Sarawak Robert Alberts melahirkan rasa puas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sekali pun mereka tewas 0-1 di tangan JDT.
Alberts menyifatkan aksi pemainnya dalam perlawanan tersebut adalah yang terbaik kerana mereka masih mampu memberi tentangan sengit kepada JDT yang rata-rata dibarisi pemain berstatus bintang.
“Keputusan ini menyangkal ramalan pakar dalam sebuah akhbar tempatan kononnya kita akan dibelasah 0-8. Semua orang bercakap mengenai perkara tersebut dan ia cukup mengecewakan saya dan penyokong di sini,” katanya kelmarin.
“Sebaliknya, pemain kita berjaya memberikan tentangan sengit meskipun JDT mempunyai kekuatan yang jauh lebih baik.”
Pengendali dari Belanda itu juga berpuas hati dengan pencapaian Sarawak pada musim ini dengan menduduki tangga ketujuh selain berjaya mengekalkan slot ke Liga Super pada musim depan.
Katanya, fokus Sarawak kini tertumpu ke arah persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Sarawak akan lebih mantap kerana ramai pemain tonggak kembali beraksi pada Piala Malaysia,” tambahnya.
Menurutnya , Gabor Gyepes, Hassan Mohamed, Muamer Salibasic dan Lot Abu Hassan dijangka pulih sepenuhnya dari kecederaan menjelang bermulanya kempen tersebut.
Gol kemenangan JDT dijaringkan oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-66 ekoran kealpaan di benteng pertahanan Sarawak.
Meskipun ketinggalan, Sarawak enggan mengalah dan mengasak kubu JDT dari setiap ruang dalam usaha mencari gol penyamaan.
Perlawanan tegang seketika dalam masa kecederaan apabila pengadil Shamsudin Ibrahim enggan menghadiahkan sepakan penalti kepada Sarawak meskipun bola jelas terkena tangan pertahanan JDT.
Usaha tuan rumah mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila Ryan Griffiths berjaya menguis masuk bola selepas insiden itu.
Namun, jaringan itu dibatalkan kerana pengadil mendakwa penyerang Sarawak itu berada dalam posisi ofsaid.-Utusan Borneo
Aksi Sarawak tetap dapat pujian
Reviewed by uMieySurianie
on
June 27, 2014
Rating:
No comments: