Seo Services

Tabung bantuan Palestin akan dilancar oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.


KUCHING - Simpati dengan nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel, beberapa jabatan dan agensi agama Islam di negeri ini mengambil usaha melancarkan tabung khas bagi membantu penduduk negara berkenaan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) negeri, Datuk Ir. Daud Abdul Rahman berkata, tabung tersebut yang diselaraskan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dengan kerjasama agensi lain akan dilancarkan beberapa hari lagi.

Menurutnya, semua kutipan derma di masjid di negeri ini pada Jumaat minggu depan juga akan disalurkan ke dalam tabung berkenaan.

"Serangan yang berlaku ke atas rakyat Palestin bukannya persengketaan antara Muslim dan bukan Muslim tetapi mengenai kemanusiaan yang mana penindasan yang dilakukan Israel.

"Justeru, kita mengharapkan umat Islam khususnya dan masyarakat umum tanpa mengira agama akan bersama-sama menghulurkan derma bagi membantu rakyat Palestin ekoran kekejaman Israel," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Derma Kepada Masjid dan Surau, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Daud menyerahkan sumbangan bantuan berjumlah RM1,000 kepada 12 buah masjid dan surau di bahagian ini untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti.

Mengulas lanjut mengenai tabung khas berkenaan, beliau berkata, tabung tersebut akan diletakkan di tempat strategik seperti di pusat beli-belah dan bazar Ramadan bagi memudahkan masyarakat menghulurkan derma.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, setakat semalam, seramai 45 orang Islam berusia lingkungan 20-an dan 30-an telah ditangkap di negeri ini kerana makan dan merokok secara terbuka semasa Ramadan.

"Tangkapan yang dibuat secara rawak itu menunjukkan peningkatan setiap hari, manakala 30 peratus daripada 45 orang yang ditangkap itu adalah rakyat Indonesia.

"Jumlah tangkapan paling tinggi setakat ini adalah di Miri. Sepanjang Ramadan tahun lalu, sebanyak 84 orang telah ditangkap kerana tidak berpuasa," katanya sambil mengingatkan umat Islam agar menghormati Ramadan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadat.


Tabung bantuan Palestin akan dilancar oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Tabung bantuan Palestin akan dilancar oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Reviewed by Unknown on July 14, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.