Seo Services

Warga Muda Berkualiti Aset Penting Negara - Rohani


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Setiap keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam membentuk warga muda yang berkualiti kerana mereka aset penting negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pelaburan dan peluang yang diberi keluarga dan masyarakat dapat membentuk warga muda yang progresif dalam menimba pengetahuan, berkemahiran dan produktif serta mampu meningkatkan taraf kehidupan generasi masa hadapan.

"Galakan kepada gaya hidup yang sihat, penyediaan peluang pendidikan dan pekerjaan yang berkualiti, akses kepada kemudahan kesihatan serta pelindungan sosial yang baik adalah antara pelaburan yang bermanfaat kepada golongan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2014 yang bertemakan 'Investing In Young People'.

Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun bertujuan mengetengahkan isu-isu semasa berkaitan penduduk dan pembangunan kepada para penggubal dasar serta perancang dan pengurus program untuk mengintegrasikan faktor kependudukan dalam perancangan pembangunan negara.

Di Malaysia, golongan muda berumur 10 hingga 24 tahun yang melebihi lapan juta orang atau lebih 25 peratus daripada jumlah penduduk perlu diberi perhatian dalam menongkah arus kehidupan yang kian mencabar.

Oleh itu, kerajaan komited dalam melaksanakan program dan aktiviti ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, termasuk golongan muda.

"Antara yang dititikberatkan dalam setiap peringkat perlaksanaan program pembangunan di Malaysia adalah penyediaan data dan maklumat yang tepat dan terkini," katanya.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengambil pelbagai inisiatif khusus kepada golongan muda seperti penggubalan Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti), penubuhan pusat kafe@TEEN, pembentukan Program PEKERTI@PLKN dan PEKERTI@SEKOLAH.

Kementerian juga, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian yang lain telah menggubal dan melaksanakan pelbagai dasar dan program seperti Dasar Pembangunan Belia Negara dan Program Rakan Muda serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.- BERNAMA
Warga Muda Berkualiti Aset Penting Negara - Rohani Warga Muda Berkualiti Aset Penting Negara - Rohani Reviewed by Unknown on July 11, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.