Seo Services

Jangan Terjebak Dengan Permainan Isu Untuk Pecah Belah Perpaduan - Najib


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak terjebak dengan permainan pihak tertentu yang menjadikan isu membandingkan penghormatan terhadap mangsa tragedi pesawat MH17 dengan mangsa insiden pencerobohan di Lahad Datu untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Perdana menteri menegaskan bahawa sekalipun negara memberikan penghormatan kepada mangsa tragedi pesawat MH17, kerajaan tetap menyanjung jasa polis dan tentera yang terkorban dalam insiden Lahad Datu itu.

"Ada sahaja orang nak memecahbelahkan kita. Dalam peristiwa Lahad Datu orang yang sama yang kata ini kononnya sandiwara, tapi bila berlaku MH17 bila kita beri penghormatan teristimewa, dia kata kenapa tak bagi penghormatan yang sama kepada para anggota tersebut walhal pada awalnya dia kata itu sandiwara," katanya.

"Dalam peristiwa Lahad Datu, kita telah beri bantuan lebih daripada biasa... jangan jadikan itu isu...ini adalah soal kita bersama," kata Najib ketika berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan Anugerah Masjid Malaysia 2014 di sini Khamis.

Najib berkata beliau telah melakukan sehabis baik berhubung insiden MH17 dengan melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan iaitu berhubung dengan ketua pemberontak.

"Jadi dasar luar kita ini, kuasa besar pun kita berhubungan, negara sedang membangun pun kita ada hubungan hatta kita perlu berunding dengan kumpulan pemberontak pun kita runding kerana kita percaya kepada kebaikan.

"Jika saya tak buat peranan ini mustahil kita akan dapat balik jenazah-jenazah ke pangkuan keluarga tersayang," kata perdana menteri.

Najib berkata usaha itu dilakukan kerana ketika beliau berjumpa seorang demi seorang keluarga mangsa, hatinya sebak dan hiba lalu beliau berjanji akan lakukan apa sahaja untuk membawa mangsa nahas MH17 pulang.

"Jadi saya minta daripada kumpulan pemberontak tanpa menjanjikan apa-apa... saya tak bayar satu sen pun. Saya kata tolong dan dia kata akan tolong dan serahkan kotak hitam dan mayat hanya kepada pasukan Malaysia," katanya.

Beliau melihat tragedi pesawat MH17 dan MH370 jelas menunjukkan kebersamaan rakyat dalam menghadapi saat kesedihan negara dengan menolak segala perbezaan politik tanpa mengira agama dan bangsa.

"Insiden itu perlu dijadikan iktibar buat semua.

"Bila negara diuji dengan pelbagai dugaan, sebagai ketua kerajaan (saya minta) bantulah saya...untuk sama-sama membina masa depan umat Islam yang cemerlang," katanya.- BERNAMA
Jangan Terjebak Dengan Permainan Isu Untuk Pecah Belah Perpaduan - Najib Jangan Terjebak Dengan Permainan Isu Untuk Pecah Belah Perpaduan - Najib Reviewed by Unknown on August 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.