Seo Services

Sistem pendidikan yang berkesan bina masa depan negara maju


KUCHING - Sistem pendidikan negara sedia ada sekarang cukup berkesan untuk membentuk sebuah negara maju tanpa memerlukan sebarang perubahan drastik dan radikal.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Putit Matzen berkata, menerusi sistem pendidikan itu, rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan berjaya membentuk sebuah integrasi positif.

Katanya, peluang pendidikan terbuka yang diberikan kerajaan tanpa mengira latar belakang dan taraf hidup masyarakat turut berjaya menghasilkan modal insan berilmu dan berfikiran rasional.

"Namun, sistem dan dasar pendidikan negara itu hanya sia-sia jika pihak bertanggungjawab iaitu warga pendidik gagal meningkatkan kualiti pengajaran dengan perkembangan prasarana pembangunan yang disediakan.

"Warga pendidik bermula dari sekolah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) harus menyedari negara tidak lagi mempunyai masa untuk menoleh ke belakang, sebaliknya mereka perlu berusaha mencapai sasaran ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wacana Profesional Para Pendidik Sekolah dan Ahli Akademik Islam IPT di Dewan Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Putit berkata, pemantapan sektor pendidikan negara turut meliputi aspek agama dan di peringkat kerajaan negeri, Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

Katanya, penubuhan biro itu bertujuan membincangkan hala tuju pendidikan tinggi berteraskan Islam agar terus relevan dengan perkembangan semasa menerusi penganjuran pelbagai persidangan, bengkel dan kursus.

Tambahnya, cabaran ketika ini adalah faktor kewangan yang tidak mencukupi, namun MIS telah berjaya mengenal pasti aspek utama yang perlu dilaksanakan sebagai usaha berterusan memperluas pendidikan agama di Sarawak.

Beberapa panel akademik tempatan telah membentangkan kertas kerja masing-masing dalam program sehari itu, antaranya 'Isu dan Cabaran dalam Meningkatkan Jati Diri Belia' oleh Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sarawak, Dr. Abdul Razak Abdul Kadir.

Selain itu, Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr. Shahren Tun Ahmad Zaidi Adruce turut membentangkan kertas kerja bertajuk 'Melahirkan Golongan Profesional Islam yang Berketerampilan dan Berwibawa'.

Sistem pendidikan yang berkesan bina masa depan negara maju Sistem pendidikan yang berkesan bina masa depan negara maju Reviewed by Unknown on August 11, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.