Seo Services

Waktu tafakur mungkin lebih awal

mh17

SEPANG - Waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi MH17 dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia berdasarkan perjalanan raptai penuh istiadat penghormatan jenazah mangsa nahas MH17 yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL serta maklum balas mesyuarat yang diadakan berhubung istiadat itu.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rakyat Malaysia peka dengan pengumuman waktu bertafakur itu. 

"Saya mohon semua rakyat untuk mendengar radio, dengar maklumat terakhir melalui sistem siar raya kita. 

"Jika semua berjalan tepat pada waktunya, waktu bertafakur akan bermula seawal 10.30 pagi esok (hari ini)," katanya.

Bagaimanapun, ini bergantung kepada waktu ketibaan pesawat khas itu dari ibu negara Belanda, Amsterdam, katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini, semalam.

Semua rakyat diminta menghentikan segala aktiviti yang dilakukan untuk bertafakur selama seminit dengan membaca Al-Fatihah bagi yang beragama Islam dan berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing bagi bukan Islam.

Kelmarin, waktu bertafakur selama seminit itu dilaporkan berlangsung antara 10.45 pagi dan 11.15 pagi hari ini.

Dua puluh jenazah dijadual tiba di sini dan diberikan istiadat penghormatan tertinggi yang akan turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Shabery menambah, pesawat khas MAS yang membawa 17 keranda dan tiga bekas abu itu dijangka berlepas dari Amsterdam pada pukul 3.15 petang (waktu Belanda) atau 9.15 malam (waktu Malaysia) Khamis, dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 9.45 pagi Jumaat.- Bernama
Waktu tafakur mungkin lebih awal Waktu tafakur mungkin lebih awal Reviewed by Unknown on August 22, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.