KUCHING: Seramai 1,800 Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) Sarawak akan diberikan latihan tiga peringkat bagi membantu tugasan pencegahan jenayah, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, SAC Burhanuddin Abdul Majid.
Beliau berkata, ini kerana anggota PVR akan digunakan sebagai antara elemen utama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.
Katanya, selain itu anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) sedia ada akan turut memberi fokus terhadap usaha mencegah dan membanteras jenayah secara holistik ke arah komuniti sejahtera.
"JPJKK akan menggunakan sepenuhnya unit URB, MPV dan 1,800 anggota PVR untuk sama-sama membanteras jenayah," katanya kepada pemberita selepas program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Masyarakat, di sini hari ini.
Katanya, PDRM juga akan mewujudkan JPJKK di semua daerah di negeri ini sebagai antara usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat berikutan ketika ini JPJKK hanya terdapat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini.
JPJKK juga akan terus mengadakan seberapa banyak program kepolisan masyarakat seperti program 'walkabout', 'kepolisan berprofil tinggi' dan PDRM Bersama Pelanggan yang diyakini mampu meningkatkan kesedaran terhadap usaha mencegah jenayah, katanya.- BERNAMA
1,800 Anggota PVR Sarawak Diberi Latihan Bantu Cegah Jenayah
Reviewed by Unknown
on
October 03, 2014
Rating:
No comments: