Seo Services

#Bajet2015 : Ketua Menteri Sarawak Puas Hati


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berpuas hati dengan perhatian yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada negeri itu yang ditunjukkan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Katanya, beliau gembira dan menyifatkannya sebagai bajet yang baik tetapi enggan mengulas panjang.

"Bajet yang sangat baik, kami sangat gembira," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pembentangan bajet itu di pejabatnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet itu berkata kerajaan akan mula membina lebuh raya Pan Borneo sepanjang 1,663 km melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936km dan Sabah (727km) dengan kos pembinaan RM27 bilion.

Sejumlah RM262 juta juga dicadangkan dalam bajet itu bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan terutama di Sabah dan Sarawak, selain RM70 juta untuk subsidi padi bukit bagi memperkukuh rangkaian bekalan makanan di kedua buah negeri itu.

Cadangan bagi peruntukan yang secara langsung melibatkan Sarawak yang diumumkan Najib termasuk pembinaan klinik kesihatan di Lubok Antu, penubuhan tiga Kedai Rakyat 1Malaysia yang baharu dan peruntukan bagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, berkata pelan kerajaan Persekutuan untuk memberi subsidi padi bukit adalah tepat pada masanya bagi para petani yang memerlukan bantuan seperti pembelian baja.

Beliau berkata kebanyakan pesawah mengusahakan tanaman padi bukit di bahagian Sri Aman, Betong, Mukah, Kanowit dan Kapit.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah negeri Tan Sri James Masing Jemut berkata bajet itu menggambarkan bahawa Najib sentiasa menghargai sokongan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap kepimpinannya.

"(Bajet) ini menunjukkan perdana menteri tidak pernah melupakan mereka (yang menyokong) yang memberikan mandat kepada beliau untuk mentadbir negara (dengan memenangi pilihan raya umum lalu)," katanya. - Bernama
#Bajet2015 : Ketua Menteri Sarawak Puas Hati #Bajet2015 : Ketua Menteri Sarawak Puas Hati Reviewed by Salfian Nawawi on October 10, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.