Seo Services

#Bajet2015 : RM27.6 Bilion Tingkat Keselamatan Dan Ketenteraman Awam, Pertahanan Negara


KUALA LUMPUR: Sebanyak RM27.604 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2015 untuk meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah itu termasuk peruntukan RM17.7 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RM9.1 bilion untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan RM804 juta bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata bagi PDRM, kerajaan meluluskan 11,757 perjawatan anggota polis selain membina 14 Ibu Pejabat Polis dan balai polis termasuk bangunan baharu Ibu Pejabat Kontinjen Perlis.

Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah, yang merupakan satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Selain itu, katanya sebanyak 1,000 lagi unit rondaan motosikal PDRM akan ditambah dan kerajaan juga memperuntuk RM121 juta kepada pihak berkuasa itu bagi melaksanakan pelbagai program NKRA.

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota ATM, Najib berkata sebanyak RM7 bilion diperuntukkan bagi memperoleh dan menyelenggara aset-aset pertahanan.

"Kebajikan anggota tentera juga akan dipertingkat termasuk perkhidmatan kesihatan dan penyediaan kediaman mereka," katanya.

Perdana menteri berkata peruntukan RM393 disediakan untuk menambah baik kecekapan operasi dan pembelian tujuh kapal peronda baharu bagi meningkatkan keselamatan maritim.

Selain itu, sebanyak RM117 juta diperuntukkan kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terutamanya bagi tujuan latihan bagi mengukuh peranan jabatan berkenaan.

Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu juga akan terus memainkan peranan sebagai agensi sukarelawan bagi membantu pasukan keselamatan, dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara, kata beliau. - Bernama
#Bajet2015 : RM27.6 Bilion Tingkat Keselamatan Dan Ketenteraman Awam, Pertahanan Negara #Bajet2015 : RM27.6 Bilion Tingkat Keselamatan Dan Ketenteraman Awam, Pertahanan Negara Reviewed by Salfian Nawawi on October 10, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.