Seo Services

Empangan Bengoh Dijangka Siap 31 Oktober 2015


KUCHING: Projek Empangan Bengoh yang amat penting untuk memenuhi permintaan air di bandar raya Kuching dan kawasan sekitar sehingga tahun 2030 kini dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Oktober 2015.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerja bagi projek tersebut sudah siap sebanyak 97.26 peratus dari segi fizikal selepas kerja tidak dapat diteruskan pada Disember 2010 disebabkan oleh isu-isu penempatan semula.

“Sekarang, kerja yang berbaki dalam projek tersebut sudah disambung semula dan dijangka siap menjelang 31 Oktober 2015.

“Kerja-kerja yang sedang disiapkan merangkumi pembersihan kawasan takungan, penutupan pembetung pelencongan, pemasangan paip, injap dan pagar di menara peng-aliran, pemasangan SCADA dan sistem kawalan elektronik lain serta kerja ujian dan pentauliahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Empangan Bengoh, Jalan Puncak Borneo dekat sini semalam.

Turut hadir Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Komunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin.

Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Peranca-ngan Sumber dan Alam Sekitar Kedua merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, buat masa sekarang, kerja membersih kawasan takungan juga sedang dijalankan.

“Setakat 25 September lepas, 57 peratus kawasan atau 577.856 hektar sudah di-bersihkan manakala kawasan seluas 1008.20 hektar masih perlu dibersihkan.

“Berdasarkan program kerja kontraktor, pembersihan kawasan takungan memerlukan masa selama enam bulan untuk disiapkan,” katanya.

Berhubung perpindahan penduduk terjejas dari Kampung Semban, Rejoi, Taba Sait dan Pain Bojong, Awang Tengah berkata sebanyak 204 Rumah Mesra Rakyat (RMR) kini sudah sedia untuk didiami di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS).

“Daripada jumlah tersebut, 155 buah sudah didiami penduduk-penduduk terjejas manakala 49 buah lagi belum didiami ekoran keluarga dari Kampung Rejoi, Kampung Taba Sait dan Kampung Pain Bojong belum lagi berpindah ke BRS,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.83 juta untuk elaun berpindah kepada 204 keluarga yang terjejas dari keempat-empat kampung tersebut.

Jelas beliau, proses mengatur pengagihan elaun tersebut kepada semua penduduk dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 70 peratus elaun perpindahan dibayar selepas isi rumah berpindah dan mengambil kunci rumah, manakala 30 peratus lagi akan dibayar selepas semua penduduk kampung sudah berpindah.

“Adalah sangat penting bagi kesemua 204 keluarga terbabit untuk ditempatkan semula di BRS dengan segera supaya kerja penakungan empangan dapat dijalankan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesemua 204 keluarga terbabit juga telah diperuntukkan dengan lot pertanian seluas tiga ekar dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sedang membantu pemilik untuk menentukan sempadan bagi lot-lot tersebut.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pertanian dan agensi kerajaan lain yang relevan juga akan membantu penduduk-penduduk terbabit di dalam kerja-kerja pertanian.-BP
Empangan Bengoh Dijangka Siap 31 Oktober 2015 Empangan Bengoh Dijangka Siap 31 Oktober 2015 Reviewed by Unknown on October 10, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.