Seo Services

FAM Cadang Guna Pengadil Luar Untuk Musim Depan


KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia mengkaji cadangan untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi meningkatkan lagi mutu sukan bola sepak negara.

Bagaimanapun Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah dalam masa yang sama juga cadangan yang akan dipertimbangkan itu tidak sesekali akan membelakangkan serta merendahkan pengadil sedia ada di negara ini.

"Kita perlu mengkaji secara mendalam perkara ini...pada musim akan datang insya-Allah. Saya akan buat kursus untuk pengadil-pengadil tempatan ini dalam masa yang terdekat dan akan membincangkan tentang perkara itu," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Bendera Pahang kepada pengamal media Pahang yang menyertai Ekspedisi ke Gunung Fansipan di Vietnam pada 4 hingga 11 Nov nanti.

Cadangan menggunakan pengadil dari luar negara sebelum ini pernah disuarakan oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor berikutan kecewa dengan dengan mutu pengadilan yang ditunjukkan oleh pengadil dalam beberapa perlawanan melibatkan pasukan JDT.

Sementara itu mengulas tentang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan menyaksikan pertembungan antara pasukan Pahang dan JDT, baginda meminta kedua-dua pasukan agar mempamerkan aksi perlawanan yang menarik dan berkualiti.

Titah baginda, lebih 10 juta rakyat di negara ini akan menyaksikan perlawanan kemuncak bola sepak negara itu dan pemain pasukan Tok Gajah dan Harimau Selatan perlu menunjukkan kualiti perlawanan yang terbaik untuk tidak mengecewakan peminat mereka.

"Dalam masa sama saya juga ingin mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar menjaga batasan dan jangan terlalu ghairah sehingga merosakkan barangan atau harta benda awam.

"Saya harap mereka akan lebih berdisiplin dan jangan susahkan pihak polis, pergi dan balik secara teratur dan senangkan pasukan keselamatan," titah baginda yang turut meminta supaya penyokong kedua-dua pasukan tidak membawa sebarang peralatan berbahaya ke dalam stadium.

Tengku Abdullah bertitah, baginda juga mengarahkan FAM dan pihak polis supaya mengadakan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan akhir itu pada 1 Nov nanti termasuk kawalan trafik dan keselamatan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menyaksikan pertembungan dua pasukan gergasi bola sepak negara Pahang dan JDT.

Pahang layak beraksi di peringkat akhir dengan kelebihan agregat 6-3 selepas menewaskan pasukan Kedah, manakala pasukan JDT pula mara dengan agregat 6-5 selepas menewaskan pasukan Felda United.

Menyentuh soal penjualan tiket pula, baginda bertitah pendekatan baharu perlu dilakukan oleh persatuan bola sepak negeri berhubung soal tersebut bagi mengelakkan penyokong bertumpu hanya pada satu tempat untuk membeli tiket.
FAM Cadang Guna Pengadil Luar Untuk Musim Depan FAM Cadang Guna Pengadil Luar Untuk Musim Depan Reviewed by Unknown on October 28, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.