Seo Services

Hubungan Ketenteraan Malaysia-China Diperkukuh Untuk Perangi Militan

 
8 Oktober-Hubungan ketenteraan antara Malaysia dan China perlu diperkukuhkan lagi, antara lain, boleh membawa kepada kejayaan lebih baik memerangi semua bentuk kegiatan militan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata bagi tujuan itu, persefahaman antara kedua-dua negara amat penting, khususnya apabila berdepan kemungkinan dari segi sensitiviti pada peringkat kemudian kelak.

Malah sebelum ini, tegasnya Malaysia dan China berikrar untuk bekerjasama dalam membina keupayaan industri pertahanan.

"Kedua-dua negara sebenarnya memeterai perjanjian yang disaksikan perdana menteri kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Seperti yang saya katakan, isu berkaitan militan dalam semua bentuk yang merentasi sempadan dan fahaman, dan kawasan panas berpotensi adalah sesuatu yang kami sedang usahakan ketika ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Anggota Dewan Negara China Yang Jiechi hari ini.

Berhubung lawatan Jiechi dan delegasinya ke negara ini, Hishammuddin percaya ia satu permulaan baik bagi Malaysia sebelum menjadi pengerusi Asean tahun depan.

Katanya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak wujud secara automatik, tetapi antara lain, hasil daripada lawatan dan persefahaman yang dipupuk.

"Saya berasa amat gembira dengan lawatan tuan yang terutama (Jiechi), tetapi saya percaya apa yang kita persetujui perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang konkrit," katanya.

Sementara itu Jiechi menegaskan, walaupun lawatannya adalah singkat, ia mencapai objektifnya dan beliau berpeluang mengadakan perbincangan termasuk dengan Najib, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya kedua-dua negara menikmati kerjasama erat dalam pelbagai bidang sejak sekian lama, namun beliau mencadangkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan pelancongan dipertingkatkan.

Jiechi berkata kini terdapat kira-kira 10,000 pelajar China sedang melanjutkan pelajaran di Malaysia dan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia sedang menuntut ilmu di kolej-kolej di China.

Beliau juga yakin hubungan dua ekonomi dua hala akan mencapai sasaran perdagangan US$150 bilion menjelang 2017 berdasarkan kekukuhan ekonomi kedua-dua negara.

Jiechi berkata China juga mengalu-alukan penyertaan Najib pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan berlangsung di Beijing November ini.

"Kami percaya penyertaan beliau akan memainkan peranan penting bagi kejayaan mesyuarat itu," katanya.

Jiechi tiba pagi ini untuk lawatan kerja dua hari di Malaysia. – Bernama
Hubungan Ketenteraan Malaysia-China Diperkukuh Untuk Perangi Militan Hubungan Ketenteraan Malaysia-China Diperkukuh Untuk Perangi Militan Reviewed by uMieySurianie on October 08, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.