KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kepentingan langkah berterusan untuk mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan negara mencapai bajet seimbang menjelang 2020.
Menjelang pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat esok, beliau berkata kerajaan kini dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran defisit fiskal, termasuk mengurangkan angkanya kepada 3.5 peratus menjelang akhir tahun dan tiga peratus menjelang akhir 2015.
"Salah untuk melepaskan beban hutang kepada generasi akan datang. Kita mesti wariskan ekonomi yang lebih kukuh dan hutang yang lebih kecil.
"Kita mesti lakukan apa yang tepat untuk ekonomi Malaysia, bukan yang popular," katanya dalam satu kenyataan.
Sambil menyatakan bahawa paras subsidi semasa tidak mampan, Najib yang juga Menteri Kewangan, memperkukuh komitmen beliau ke atas rasionalisasi subsidi dengan berkata subsidi bahan api meningkat daripada RM1.6 bilion setahun pada 2002 kepada RM2 bilion sebulan pada 2014.
Beliau berkata Bajet 2015 merupakan belanjawan 'pro-rakyat' yang meliputi langkah bagi mengurangkan beban kos hidup.
Najib juga berkata bajet itu juga akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendidikan serta mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik.
Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"BR1M akan terus menjadi sebahagian manifesto kami. Ia sebahagian daripada rasionalisasi subsidi. Dengan mengubah subsidi menyeluruh kepada sokongan lebih bersasar, kamu akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang," katanya.
Untuk maklumat lanjut, hubungi bajet2015@treasury.gov.my. dan layari www.treasury.gov.my bagi menonton ucapan secara langsung pembentangan Bajet, untuk memuat turun ucapan Bajet yang sudah dibentang, Laporan Ekonomi dan dokumen penting yang lain. - Bernama
Kepentingan Pengurangan Defisit Menjelang #Bajet2015
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 10, 2014
Rating:
No comments: