Seo Services

Malaysia Perlukan Ramai Belia Ceburi Bidang Kemahiran

 

HANOI: Malaysia masih kekurangan pelajar terutamanya golongan belia yang menceburi bidang kemahiran teknikal dan vokasional bagi memenuhi tenaga kerja mahir dalam negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata ketika ini peratusan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti bidang teknikal dan vokasional adalah sekitar 10 peratus.

Katanya, angka berkenaan jauh lebih rendah berbanding corak pendidikan yang dilaksanakan negara maju yang memberi penekanan lebih terhadap bidang berkenaan.

"Walaupun kita akui perlukan kecemerlangan dalam akademik, tetapi jika dibuat perbandingan antara negara kita dengan negara-negara maju umpamanya Korea Selatan dan Australia, anak-anak mereka yang dijuruskan kepada bidang teknikal dan vokasional ini lebih daripada 40 peratus," katanya kepada Bernama selepas melawat kontinjen Malaysia sempena Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ke-10 di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di sini, Isnin.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 51 belia daripada pelbagai institusi kemahiran di Malaysia terpilih dalam pertandingan yang bermula 19 Okt lepas dan berakhir Rabu ini.

Ismail berkata, Malaysia masih terkebelakang dalam usaha menghasilkan tenaga kerja mahir walhal negara ketika ini amat memerlukan golongan ini, selaras dengan matlamat mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menurut beliau, ketika ini, kumpulan pekerja berkemahiran di Malaysia hanyalah sekitar 28 dan 29 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja, iaitu lebih rendah daripada yang disasarkan iaitu 33 peratus, menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020.

Justeru katanya, Kementerian Pendidikan kini mempertingkatkan sasaran ke 20 peratus dengan berusaha menarik minat belia lepasan SPM supaya menceburkan diri dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

Terdahulu, pada Ahad malam, majlis makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di Hanoi diadakan bagi meraikan pegawai-pegawai kontinjen ASC di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia di Vietnam Datuk Azmil Zabidi.

Ismail dalam ucapannya pada majlis itu berkata persepsi atau mentaliti masyarakat yang melabelkan bidang kemahiran dan vokasional sebagai pengajian pilihan kedua, perlu diubah.

Ini kerana, katanya latihan kemahiran adalah usaha penting dalam pembangunan modal insan bertaraf dunia yang dapat mentransformasikan ekonomi negara ke arah status berpendapatan tinggi.

"Saya memberi sokongan yang cukup kuat kepada kerajaan khususnya kementerian untuk kita meningkatkan kadar kemahiran pekerja dalam kalangan anak-anak muda kita, di mana kesedaran ini perlu diberi bukan sahaja kepada anak muda, tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat umumnya," katanya.

Melihat akan kepentingan itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi mengubah persepsi masyarakat termasuklah penyertaan dalam ASC untuk membuktikan bahawa bidang kemahiran adalah bertaraf antarabangsa.

Malah pertandingan seumpama itu juga akan membantu Malaysia mencapai sasaran 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020, katanya.- BERNAMA
Malaysia Perlukan Ramai Belia Ceburi Bidang Kemahiran Malaysia Perlukan Ramai Belia Ceburi Bidang Kemahiran Reviewed by Unknown on October 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.