Seo Services

Malaysia yakin menang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB


KUALA LUMPUR: Malaysia yakin boleh memenangi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2015-2016 selepas usaha melobi secara aktif yang dilakukan pemimpin negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin berkata, Malaysia mampu menang atas usaha yang dilakukan pemimpin seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk meraih sokongan 193 negara anggota PBB terhadap pencalonan Malaysia.

"Pengundian terakhir akan diadakan 16 Okt ini. Insya-Allah, Malaysia yakin boleh menang kali ini," katanya sambil menarik perhatian Anifah berada di luar negara untuk tempoh panjang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Hamzah menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) mengenai perkara itu.


Malaysia pernah menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali sebelum ini bermula 1965, disusuli penggal 1989-1990 dan 1999-2000.

Soalan asal Raime merujuk kepada usaha Malaysia menghantar nota bantahan kepada PBB terhadap Israel yang melancarkan peperangan selama 50 hari ke atas Gaza di Palestin.

Hamzah berkata Malaysia bersama masyarakat dunia yang sependapat telah mendesak Majlis Keselamatan PBB menggesa rejim Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas Gaza.

Katanya untuk meringankan beban penduduk Gaza, Malaysia menghulurkan bantuan US$3 juta di samping mengumumkan kesediaan menyumbang US$100,000 (masing-masing) kepada United Nations Relief and Works Agency dan Islamic Solidarity Fund, iaitu organ subsidiari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Sumbangan kewangan itu bagi melaksana bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza. Kedua-dua sumbangan itu diperoleh daripada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah seliaan kementerian dan akan disampaikan kepada rakyat Palestin melalui kaedah sesuai," katanya. Sambil menegaskan Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, Hamzah berkata kerajaan Malaysia bersedia memberi sumbangan kewangan tambahan secara terus kepada Palestin. - BERNAMA
Malaysia yakin menang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB Malaysia yakin menang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB Reviewed by JANUARIUS on October 14, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.