KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam menyelar pembangkang yang membuat dakwaan kononnya media cetak dan elektronik tempatan masih bersikap berat sebelah dan hanya menyiarkan berita mengenai kerajaan.
Mengambil contoh Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau berkata ia kini bersifat lebih terbuka termasuk menyiarkan persidangan Dewan Rakyat secara langsung.
“Sekarang inipun persidangan Dewan Rakyat disiarkan RTM selama satu setengah jam, (apa yang) Yang Berhormat semua cakap, satu Malaysia boleh tengok.
“Perkara ini tidak berlaku dulu, saya tak fikir dulu masa (anggota Parlimen) Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pegang jawatan (dalam kerajaan) dia akan benarkan pihak pembangkang dapat peluang begini (siaran langsung),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat semalam.
Ahmad Shabery menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang mendakwa kebebasan media di Malaysia terhad termasuk RTM yang dikatakan cenderung melaporkan berita menyokong kerajaan.
Ahmad Shabery turut membidas sikap sesetengah anggota pembangkang yang tidak membenarkan entiti media tempatan membuat liputan aktiviti mereka seperti yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang.
Beliau turut menjawab soalan asal Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berhubung isu kebebasan media yang kini dilihat terpalit dengan penyebaran maklumat melampaui batas.
Ahmad Shabery menarik perhatian bahawa sejak Januari hingga Ogos lepas, 1,225 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai salah guna media sosial.
Menurutnya, didapati hanya 0.006 peratus kes penyalahgunaan media sosial direkodkan sepanjang tempoh itu, jumlah yang sangat kecil berbanding 19.2 juta pengguna Internet di negara ini.
Sambil berkata bahawa keadaan memang terkawal, beliau menegaskan kerajaan tetap memandang serius kes pencabulan kebebasan pengaliran maklumat seperti yang dilihat dengan tindakan susulan diambil terhadap aduan yang dikemukakan.
“Sehingga Ogos lepas, SKMM meminta penyedia perkhidmatan menutup 1,400 akaun laman sosial yang dianggap tidak sesuai dan terlibat dari segi penyalahgunaan,” kata Ahmad Shabery.
Kepada soalan tambahan Noh berhubung catatan akaun Facebook milik blogger seks Alvin Tan yang kini dikatakan berada di luar negara dan mencabar polis menangkapnya, menteri itu berkata kerajaan menghadapi kesukaran bertindak kerana undang-undang tempatan tidak terpakai di negara luar.
“Akaun Facebook tersebut juga dikendalikan di sana, kita telah meminta penyedia perkhidmatan FB menutup akaunnya namun ia bergantung kepada (pengendali) FB sama ada bersetuju menutupnya atau tidak, ia bukan hak kita,” jelasnya. — Bernama
Media Malaysia Kini Lebih Terbuka: Ahmad Shabery
Reviewed by JANUARIUS
on
October 15, 2014
Rating:
No comments: