KUCHING: Tidak banyak masjid atau surau uzur di Sarawak kerana kerja membaik pulih kerap dijalankan dari semasa ke semasa, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Beliau berkata jika dibandingkan dengan negeri lain di Malaysia, bilangan masjid atau surau uzur di negeri ini amat berkurangan termasuk di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun katanya, memang terdapat sebilangan kecil sahaja masjid atau surau uzur di negeri ini terutama yang tidak mempunyai ramai jemaah.
“Berbanding negeri lain, masjid dan surau di Sarawak tidak banyak yang uzur melainkan tidak mempunyai ramai jemaah.
“Memang ada masjid dan surau yang uzur namun kerja membaik pulih kerap dijalankan.
“Ada antara masjid atau surau di luar bandar amat cantik dan mempunyai struktur yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas naik taraf Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussin/Rahmat semalam.
Tambahnya, kerajaan juga sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat Islam negeri ini dengan pembinaan dan baik pulih banyak masjid dan surau setiap tahun.
“Tahun ini dianggarkan lebih kurang 20 masjid dan surau mula dibina dan dibaik pulih. Ada antaranya siap 16 bulan dan ada juga dua tahun,” ujarnya.
Mengenai kerja menaik taraf Masjid Darul Husni Warrahmah, Daud berkata, projek menelan belanja RM3 juta itu akan dimulakan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
“Setakat ini masjid ini hanya dapat memuatkan 600 jemaah manakala selepas naik taraf nanti seramai 1,200 jemaah mampu dimuatkan dalam satu-satu masa,” jelasnya.
Mengulas mengenai kempen ‘I want to touch a dog’, Daud berkata, kempen tersebut diadakan ibarat mencabar umat Islam kerana tiada alasan kukuh.
“Tidak perlu kempen seperti ini kerana ia tidak relevan. Ia macam mencabar umat Islam,” kata Daud. - UB
Pembaik-pulih Masjid Dan Surau Di Sarawak Kerap Dilakukan
Reviewed by uMieySurianie
on
October 27, 2014
Rating:
No comments: