Seo Services

Penipu RM111,000 Ditangkap Mangsanya Sendiri


SIBU: Seorang wanita ditahan selepas didakwa terlibat dalam kes menipu seorang ibu membabitkan wang tunai RM11,000 dan barang kemas bernilai RM100,000.

Pagi semalam, mangsa dan suaminya berada di sebuah kedai kopi bertentangan dengan Pasar Sentral Sibu apabila mereka ternampak wanita terbabit.

Mereka berjaya menangkap mangsa dan menyerahkannya kepada polis.

Menurut laporan akhbar Sabtu lalu, mangsa bertemu dengan suspek selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Jalan Pahlawan, di sini jam 9.30 pagi Sabtu lalu.

Mangsa berkata, wanita itu menawarkan bantuan untuk mencari seorang lelaki tua yang pandai mengubati penyakit.

Ketika mereka sedang berbual-bual, seorang lagi wanita berumur lingkungan 50-an mendekati mereka dan mengesyorkan seorang tukang urut di sebuah restoran.

Mereka kemudian mengajak pengadu pergi ke tempat yang dikatakan itu namun pengadu enggan menerima pelawaan mereka.

Tidak lama kemudian seorang lagi wanita berumur lingkungan 60-an lalu di situ dan merenung tajam muka pengadu sambil memberitahunya bahawa sesuatu yang buruk akan menimpa keluarganya(mangsa).

“Dia kata saya akan mengalami nasib malang dalam tempoh tiga hari iaitu salah seorang daripada tiga orang anak saya akan meninggal dunia jika saya tidak melakukan sesuatu dengan cepat untuk menolak bala itu,” jelasnya.

Mangsa yang bimbang serta takut sesuatu buruk berlaku kepada anaknya terus meminta nasihat daripada orang tua tersebut bagaimana cara untuk menolak bala itu.

Mangsa kemudian disuruh pulang ke rumahnya untuk mengumpul semua wang tunai serta barang kemas miliknya dan perlu diserah kepada perempuan tua tersebut supaya dia dapat menjampinya.

Tanpa lengah, mangsa terus memandu kereta Proton Exora pulang ke rumahnya di Jalan Apollo, di sini untuk menurut arahan orang tua tersebut.

Kira-kira jam 11 pagi, pengadu kembali ke tempat pertemuan mereka dekat pasar raya tersebut dan menemui tiga wanita berkenaan semula.

Ketiga-tiga mereka kemudian masuk ke dalam kereta dan meminta pengadu memandu sahaja, sementara salah seorang daripada tiga perempuan berkenaan memintanya menyerahkan wang tunai serta barang kemasnya yang dimasukkan ke dalam sebuah plastik berwarna hitam agar dia dapat membaca jampi.

Menurut mangsa, dia tidak dibenarkan menoleh ke belakang dan diarah terus memandu di sekitar Jalan Pahlawan.

Sebaik sahaja menjampi beg plastik berkenaan, mereka mengarah mangsa memberhentikan kereta sebelum menyerahkan kembali kononnya beg plastik berwarna hitam itu mengandungi semua wang tunai dan barang kemas.

“Saya tidak dibenarkan membuka beg plastik berkenaan sehingga tempoh sembilan hari kemudian,” kata mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar air minuman ringan di sini.

“Selepas saya berhenti, semua mereka keluar dari kereta saya sebelum saya beredar dari situ,” jelasnya.

Apabila mangsa sampai di rumahnya dia berasa tidak sedap hati dan teruja untuk mengetahui sama ada emas dan wangnya ada di dalam plastik beg berkenaan.

Apabila dia membuka beg plastik tersebut, dia mendapati hanya dua botol air minuman serta sebungkus garam berada di dalamnya.

Pengadu berasa kesal setelah menyedari dia ditipu oleh tiga wanita terbabit, lalu bertindak menghubungi anak lelaki bongsunyauntuk menghantarnya ke Balai Polis Sentral Sibu membuat laporan polis.

Menurut pengadu, dia ditipu dengan jumlah wang tunai sebanyak RM11,000 selain barang kemas berbentuk tujuh utas rantai emas, dua pasang subang dan tiga utas gelang tangan bernilai kira-kira RM100,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UB
Penipu RM111,000 Ditangkap Mangsanya Sendiri Penipu RM111,000 Ditangkap Mangsanya Sendiri Reviewed by Salfian Nawawi on October 07, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.