Seo Services

Penjawat Awam Perlu Berani Tampil Inovasi


SERDANG: Penjawat awam pelbagai lapisan perlu sentiasa mencabar status quo dan menyanggah pendekatan konvensional melalui keberanian menampilkan idea unik di luar kotak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, katanya, ketua jabatan perlu memainkan peranan penting bagi menyediakan ruang dan peluang kepada warga organisasi untuk melebarkan horizon pemikiran dan menampilkan inovasi yang bitara dalam pendekatan sedia ada ketika menyampaikan perkhidmatan.

"Justeru, dalam konteks perkhidmatan awam, pemberian perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat adalah fokus utama dalam inisiatif transformasi yang cuba digarapkan dan ditanam dalam pelaksanaan tugas seharian semua penjawat awam.

"Ketua jabatan hendaklah lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai platform untuk menjana dan menggalakkan percambahan idea baru yang sesuai dengan semua lapisan penjawat awam supaya mereka secara sukarela merasa terpanggil untuk mengusahakan sesuatu pembaharuan yang dapat memudahkan tugas mereka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2014 bertemakan "Menyemarak Inovasi Merealisasikan Transformasi" di MAEPS dekat sini, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga berharap lebih banyak lagi produk inovasi dapat direalisasikan demi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Konsep menghubungkan jaringan kerjasama antara pelbagai agensi, sama ada agensi awam mahupun swasta di bawah satu bumbung perkhidmatan adalah inisiatif inovasi yang sangat digalakkan," katanya.

Muhyiddin juga mahu konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dihayati dengan lebih meluas dalam merealisasikan objektif dan hala tuju jabatan dan agensi masing-masing.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perdana Menteri atas inisiatif mengguna pakai konsep NBOS dalam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi tetapi berkos rendah dan menjimatkan masa," katanya.- BH
Penjawat Awam Perlu Berani Tampil Inovasi Penjawat Awam Perlu Berani Tampil Inovasi Reviewed by uMieySurianie on October 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.