BETONG: Pembukaan Klinik 1Malaysia (K1M) Betong sejak 17 Oktober lalu memberi perkhidmatan perubatan lebih pantas serta menjimatkan kepada penduduk di sini.
Terletak di Bandar Baharu Medan Betong, ia lebih memudahkan penduduk yang ingin mendapatkan rawatan dan perkhidmatan perubatan kerana lebih dekat.
Pegawai Kesihatan Bahagian (PKB) Betong Dr Johny Pangkas berkata dengan bayaran RM1 bagi setiap lawatan kepada pesakit warganegara dan RM15 untuk bukan warganegara, mereka layak menerima rawatan daripada pegawai bertugas.
“Kami menetapkan waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari pada hari Isnin hingga Ahad.
“K1M mempunyai waktu operasi lebih panjang termasuk hujung minggu dan cuti umum.
“K1M Betong terletak di tempat yang strategik dan dekat untuk dilawati selain waktu menunggu lebih pendek jika dibandingkan dengan hospital,” katanya.
Johny menambah, K1M Betong adalah untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada penduduk Betong yang berada di sini.
K1M juga dapat mengurangkan beban tugas di jabatan pesakit luar dan unit kecemasan di Hospital Betong khasnya rawatan penyakit ringan seperti demam, batuk, selesema, asma, luka-luka kecil dan sakit mata.
Selain itu ia dapat mengurangkan masa menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Johny menjelaskan, PKB meneruskan aktiviti seperti kawalan penyakit, memantau perkhidmatan di klinik-klinik kesihatan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan di kalangan penduduk.
“Program sepanjang tahun ini kita jalankan mengikut takwim yang ditetapkan dengan pelaksanaan lebih penekanan terhadap penjagaan kesihatan kepada penduduk,” katanya. - UB
Perkhidmatan Pantas, Menjimatkan
Reviewed by JANUARIUS
on
October 29, 2014
Rating:
No comments: