PUTRAJAYA: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai permit untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata polis tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu.
"Setakat ini, perhimpunan ini aman namun tiada permit yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan itu, di sini, hari ini.
Beliau turut mengulas insiden seorang jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Mohamad Shahril Badri terkena sebiji telur yang dipercayai dibaling dari arah penyokong Anwar.
Katanya, polis tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku selain individu serta motif insiden itu.
Sementara itu, polis membuka pagar yang ditempatkan di hadapan Istana Kehakiman kira-kira 3 petang tadi bagi memberi ruang kepada penyokong Anwar berteduh daripada hujan di bawah khemah yang dipasang untuk satu majlis anjuran Perbadanan Putrajaya.
"Mereka minta pagar dibuka sebab hujan dan hendak berteduh di khemah... atas dasar perikemanusiaan, kita membukanya," kata Abdul Razak.
Namun, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tetap berkawal bagi mengelak penyokong menghampiri pekarangan bangunan itu.
Hari ini adalah hari kedua pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di sini.- BERNAMA
Polis Sahkan Perhimpunan Di Hadapan Istana Kehakiman Tiada Permit
Reviewed by Unknown
on
October 29, 2014
Rating:
No comments: