Seo Services

Pulau Pinang Tak Mungkin Ada Tentera Sendiri


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam nada sinis berkata, beliau tidak fikir kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan Tentera Laut Diraja Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan bahawa kuasa melibatkan soal pertahanan dan keselamatan adalah tertakluk di bawah pengurusan Kerajaan Pusat.

Oleh yang demikian, mana-mana kerajaan negeri tidak mempunyai kapasiti kuasa dalam membentuk apa-apa pertubuhan keselamatan bagi tujuan menjalankan fungsi menjaga keselamatan dan juga pertahanan.

“Kita tahu bahawa dalam negara soal keselamatan dan pertahanan adalah bidang kuasa yang dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.
“Jadi jika ada mana-mana pihak kerajaan negeri mahu mengambil alih kuasa yang dipunyai oleh Kerajaan Persekutuan, maka ianya adalah di luar undang-undang.

“Saya tidak fikir Pulau Pinang mahu menubuhkan pasukan Tentera laut Diraja Pulau Pinang sendiri, kerana merasakan bahawa Pulau Pinang itu dikelilingi laut, tentulah Yang Berhormat Lumut juga tidak layak jadi ahli atau panglima tentera laut Pulau Pinang umpamanya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan Ahli Parlimen Lumut, Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid di Dewan Rakyat hari ini.

Imran sebelumnya mempertikaikan tindakan polis yang menahan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang setelah ia diisytiharkan haram oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurut Imran, mana-mana ketua negeri mahupun menteri besar mempunyai kuasa ke atas keselamatan negeri.

Bagaimanapun jelas Zahid, kuasa sebenar melibatkan keselamatan itu tertakluk di bawah Kerajaan Pusat sambil menegur tindakan ahli parlimen pembangkang itu sebagai mengelirukan Dewan.
“Ketua Menteri atau Menteri Besar memang pengerusi Majlis Keselamatan Negeri itu betul dan itu fakta.

“Tetapi soal pertahanan dan keselamatan itu adalah terletak di bawah kuasa polis negeri, atau panglima divisyen atau panglima briged yang jaga kawasan itu. Bukan hak ketua menteri dan menteri besar.

“Itu Yang Berhormat harus tahu, sebagai bekas pegawai TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) harus tahu hal itu, jangan kelirukan Dewan ini,” tambah Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh.

Polis pada Ogos lalu menahan 154 anggota PPS Pulau Pinang kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas mendapati pasukan itu sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan ROS.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua anggota PPS itu, termasuk tujuh wanita, ditahan di kawasan Padang Kota, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan ROS. - Rakyat Post
Pulau Pinang Tak Mungkin Ada Tentera Sendiri Pulau Pinang Tak Mungkin Ada Tentera Sendiri Reviewed by Salfian Nawawi on October 16, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.