KUCHING: Kehadiran Datuk Abdul Malek Noor di Tanah Perkuburan Islam Samariang sebentar bagaikan menyempurnakna keinginan sahabat karibnya Allahyarham Bujang Taha yang ingin bertemu dengannya.
Setibanya Malek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 2 petang tadi, beliau terus di bawa ke pusara Allahyarham Bujang Taha yang baharu di kebumikan tengahari tadi.
Malek, yang juga merupakan jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali yang mengalami kecederaan di kakinya kelihatan dipapah oleh Pengerusi PBB Cawangan Batu Lintang Dato' Haji Idris Buang ketika tiba di tanah perkuburan berkenaan.
Rasa sebak dan sedih nyata terpancar di wajah Malek ketika beliau menyiramkam air bunga mawar ke pusara sahabatnya dan bersedekahkan Al-Fatihah.
Bekas jaguh Mr Asia, Allahyarham Bujang Taha, 77, ketika terlantar sakit di katil hospital pada hari Sabtu lepas menyatakan beliau sungguh teruja ingin bertemu dengan Malek Noor dijadualkan untuk menziarahinya pada hari ini.
Allahyarham Bujang, yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) meninggal dunia akibat komplikasi daripada barah mulut dan paru-paru pada jam 10.47 malam semalam.
Allahyarham Bujang merupakan antara perintis bina badan Sarawak di mana pada era kegemilangannya, beliau telah merangkul kejuaraan Asia sebanyak dua kali iaitu pada 1980 dan 1981. - Sarawakiana
Tercapai Jua Hasrat Allahyarham Bujang Taha Bertemu Malek Noor
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 13, 2014
Rating:
No comments: