SIBU: Kerajaan negeri tidak akan mengeluar lesen pembalakan buat sementara waktu sehingga kegiatan penyeludupan dan penebangan balak haram berjaya ditangani.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, sehingga September tahun ini, kerajaan telah merampas sejumlah kayu balak haram bernilai RM2.95 juta.
Beliau berkata, jumlah itu adalah 400 peratus lebih tinggi berbanding rampasan tahun lepas.
“Saya tidak akan mengeluarkan mana-mana lesen berkaitan pembalakan buat masa ini sehingga kita berjaya mengurang gejala penyeludupan kayu balak dan sindiket haram pembalakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Integriti Anggota Penguat Kuasa Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Siri 2/2014 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Adenan menjelaskan, kerajaan meminta kerjasama dengan pemegang lesen untuk memaklumkan jika terdapat sindiket haram di kawasan masing-masing.
“Jika mereka meminta untuk memperbaharui lesen atau melanjut tempoh, kita akan melihat berapa banyak mereka bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengekang aktiviti haram ini.
“Mereka boleh menjadi penguat kuasa berkesan kerana berada di lokasi dan tahu apa yang berlaku,” katanya.
Mengenai kes kecurian Buah Tandan Segar (BTS), katanya, perkara tersebut amat serius.
Aktiviti penuaian, penjualan dan pembelian BTS haram melibatkan 72,000 tan metrik sebulan dalam tempoh tiga bulan penguatkuasaan dilakukan untuk mencegah penuaian, penjualan dan pembelian BTS haram.
“Ini bermakna bernilai RM27.5 juta BTS pada harga semasa. Jika diterjemahkan, 72,000 tan metrik, ia adalah 95,000 ekar kawasan perladangan. Jika kita tidak mengambil tindakan, ia akan semakin parah,” katanya-BP
Tiada Lesen Balak Sehingga Sindiket Haram Ditangani
Reviewed by Unknown
on
October 10, 2014
Rating:
No comments: