Seo Services

Wakil Rakyat Nafi Sokong Kegiatan Pembalakan Haram


KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr Jerip Susil hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau menyokong kegiatan pembalakan haram yang berterusan dan cadangan projek ladang kelapa sawit di kawasan hutan di Kampung Danu, Jalan Puncak Borneo, kira-kira 55km dari sini.

Dr Jerip, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh, menolak dakwaan individu tertentu itu. Cadangan ladang kelapa sawit itu masih belum menerima kelulusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan terhadapnya, Dr Jerip berkata: "Saya tidak mempunyai kaitan dengan pembalakan haram itu malah saya tidak merestui kegiatan haram seperti itu."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci 'Rumah 1Veteran' kepada Diana Rinyon, 46, balu anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lans Koperal Paul Sibang, di Kampung Misaan, Siburan, kira-kira 30km dari sini.

Rumah bernilai RM50,000 itu dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak bagi menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa untuk Diana dan anak perempuannya Annie, 16, yang menumpang rumah kakak Diana di Kampung Misaan selepas kematian suaminya, 15 tahun lepas.

Dr Jerip menasihatkan mereka yang terlibat dalam kegiatan pembalakan haram dan cadangan projek ladang kelapa sawit supaya jujur dan telus, sambil berkata "segala-segalanya perlu dilakukan mengikut prosedur dan saluran yang betul."

Mengenai aduan penduduk kampung bahawa jentera syarikat pembalakan menceroboh tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka, beliau menasihatkan penduduk berkenaan supaya melaporkan perkara itu kepada polis.

Mengenai pembinaan jalan Kampung Semadang-Kampung Danu sepanjang 2.5km, Dr Jerip berkata pihak berkuasa perlu melarang kenderaan dan jentera syarikat pembalakan daripada menggunakan jalan tersebut.

Jalan itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini tetapi penduduk kampung bimbang jalan tersebut akan mengalami kerosakan akibat penggunaan oleh kenderaan dan jentera berat sebelum ia siap sepenuhnya.

Jabatan Perhutanan Sarawak sedang memantau situasi itu dan telah menemu bual penghulu Kampung Semadang dan Kampung Danu dan tiga individu tempatan yang mendakwa kawasan hutan itu dibersihkan untuk projek ladang kelapa sawit.

Sementara itu, Pengarah JHEV ATM Sarawak, Lt Kol Monday Juhid berkata mereka telah membina 49 unit rumah untuk balu dan keluarga bekas tentera sejak 2012 di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). - Bernama
Wakil Rakyat Nafi Sokong Kegiatan Pembalakan Haram Wakil Rakyat Nafi Sokong Kegiatan Pembalakan Haram Reviewed by Salfian Nawawi on October 05, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.