KUCHING: Kecantikan luaran dan holistik seorang wanita yang sudah berkahwin dengan pembawaan diri yang baik memberi kesempurnaan dalam meningkatkan keyakinan serta harga diri, mendorong ia menjadi ikutan wanita lain.
Demikian saranan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah kepada golongan wanita yang sudah berkahwin agar sentiasa menunjukkan perkembangan positif itu dalam diri mereka.
Beliau katanya, menghargai perjuangan perkongsian pengalaman dan impian golongan wanita yang sudah berkahwin (merujuk kepada peserta pertandingan) untuk pembangunan masyarakat hari ini.
“Ini merupakan peluang kita membawa tujuan yang baik kepada wanita lain, keluarga serta anak-anak, selain berpenampilan menarik, wanita juga perlu menjadi rakan karib serta kebanggaan ahli keluarga pada setiap masa diperlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Mrs Sarawak 2014 di Hotel Riverside Majestic di sini petang kelmarin.
Tambah beliau, penampilan rupa paras tidak mencukupi tetapi pembawaan diri dan imej yang ditonjolkan dengan nilai bertanggungjawab, berdikari dan dihormati perlu ada dalam diri setiap wanita agar sentiasa dihormati.
“Dengan menjadi seorang yang menawan, cantik dan ‘dignified’ kita dapat menarik tumpuan generasi muda akan pentingnya untuk menjadi cantik secara rohani, fizikal, sosial dan intelek.
“Ia turut menjadi kesedaran kendiri kepada golongan sebaya kita untuk mengekalkan kestabilan fizikal dan kesihatan emosi yang baik dalam memastikan fungsi dan peranan sebagai seorang isteri, ibu dan pengurus rumah dijalankan dengan sempurna,” tambahnya.
Beliau berbangga dan berharap para peserta daripada kalangan wanita berkahwin akan lebih berkeyakinan dan bersedia untuk berkongsi berpengalaman mereka kepada orang lain selepas ini.
Selepas dipilih para juri berpengalaman, Ezzanoni Hadjeli dinobatkan sebagai Mrs Sarawak 2014, disusuli Sahrifah Ajauyah Wan Rahman di tempat kedua dan Kamaria Susah Kamas di tempat ketiga.
Pada majlis yang sama, Mrs Fitness digondol oleh Etelka Michell Warner, Mrs Charming pula oleh Ann Fiona Phillips, Mrs Confidence Kelly Damian Jusun dan Mrs Photogenic Ezzanoni Hadjeli.
Ezzanoni merupakan seorang ibu dan isteri serta menjalankan perniagaan sendiri.
Beliau yang gemar melancong pada waktu lapangnya berjaya menarik perhatian juri petang kelmarin.
Peserta lain yang turut menyertai adalah Bibiana Asson, Nurafidah Samsuddin, Juliana Luman, Noor Hamiza, Lindra Yusop, Zurina Koloni, Sharon Frederick Asu, Cindy Suwis, Nur Jauna Marcella Kenneth, Huwanti Chai dan Noor Syafina Nayan. - UB
Wanita Berkahwin Harus Tunjuk Perkembangan Positif Dalam Diri
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
October 08, 2014
Rating:
No comments: