Seo Services

‘Kami Ada Karakter 2010’


SINGAPURA - Biarpun gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan sulung menentang Myanmar, Ahad lalu, bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yakin skuad kali ini memiliki karakter yang sama ketika muncul juara pada 2010.

Pada kejohanan empat tahun lalu, Malaysia memulakan kempen dengan dibelasah 5-1 oleh Indonesia, tetapi menunjukkan kebangkitan hebat, terma­suk mengejutkan Vietnam 2-0 di separuh akhir.

Mereka kemudian membenam Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, tewas 1-2 di Jakarta tetapi menjulang Piala AFF menerusi agregat 4-2.

“Pada Piala AFF 2010, semua orang cakap tidak boleh pergi jauh apabila kami kalah 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan pembukaan, namun kita berjaya bangkit dan muncul juara.

“Sikap begitu yang kita mahukan dan saya nampak ia ada pada pemain pada edisi kali ini mempunyai karakter yang sama seperti mana empat tahun lalu,” kata Safiq yang merupakan ketua pasukan Malaysia pada 2010.

Sebaik saja Malaysia seri tanpa jaringan berdepan Myanmar, suara peminat Harimau Malaya tampak semakin lantang mengkritik kemampuan skuad Dollah Salleh.

Pemain pencen, kuda tua dan bintang berkarat, itu antara gelaran yang diberikan kepada pemain negara.

Hanya segelintir saja yang masih menaruh harapan Harimau Malaya mampu menjinakkan Thailand.

Segala kata-kata sumbang itu langsung tidak dipedulikan Safiq, yang secara jujur melihat skuad kali ini ada karakter untuk melakukan kebangkitan dengan mendapatkan tiga mata ketika bertemu Thailand.

“Tidak mustahil kami mampu me­ngulangi pencapaian 2010 ke­rana rata-rata tampak begitu positif walaupun kami seri dalam perla­wa­nan pertama, sikap ini mampu membawa kami mara ke peringkat seterusnya,” katanya.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu juga berharap rakan-rakannya tidak terlalu memandang tinggi Thailand yang muncul sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah, Singapura, 2-1.


Safiq dijangka dipertaruhkan di bahagian tengah bersama Shukor Adan selepas Gary Steven Robbat digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning pada perlawanan menentang Myan­mar. – UTUSAN
‘Kami Ada Karakter 2010’ ‘Kami Ada Karakter 2010’ Reviewed by JANUARIUS on November 26, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.