KUCHING: Pengusaha pengangkutan awam diingatkan agar tidak
menaikkan tambang dengan sewenangnya berikutan kenaikan harga minyak diesel
semalam.
Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman
berkata, adalah tidak adil sekiranya tambang dinaikkan kerana peningkatan
tersebut adalah sangat minimum, hanya tiga sen seliter.
“Daripada apa yang kita dengar setelah diumumkan kenaikan harga
diesel hari ini (semalam), ada antara pengusaha pengangkutan seperti bas
sekolah ingin menaikkan tambang mereka.
“Saya rasa perkara ini tidak adil kerana kenaikan itu sangat
minimum.
“Jadi, kita mengingatkan mereka agar tidak mengambil kesempatan
atas kenaikan tersebut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan
penetapan harga runcit bagi petrol dan diesel mengikut kaedah pengapungan
terkawal mulai 1 Disember.
Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal
Islam) berkata, seperti yang telah diumumkan, harga runcit bagi RON97 dan RON95
telah turun manakala diesel pula naik sedikit.
“Kita gembira dengan penurunan harga RON97 sebanyak sembilan sen
seliter kepada RM2.46 dan RON95 pula empat sen seliter menjadi RM2.26 dan
berharap rakyat juga gembira dengan keputusan kerajaan memperkenalkan kaedah
baharu itu.
“Bagi diesel pula, mungkin pada masa akan datang harga diesel pula
yang akan turun,” jelasnya sambil menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memantau
perkembangan pasaran minyak dunia.
Dalam perkembangan lain, Daud ketika diminta mengulas mengenai
Akta Hasutan 1948 berkata, keputusan Perdana Menteri untuk meminda beberapa
perkara dalam akta tersebut adalah untuk kebaikan negara ini secara
keseluruhannya.
“Memang kita ada dengar desas-desus segolongan kecil masyarakat di
negara ini yang mahu akta ini dimansuhkan.
“Namun perlu diingat, akta ini bukan dibuat pada zaman kita tetapi
pada 1948 dan pada masa itu ia dibuat kerana pemimpin dahulu lagi sudah melihat
kepentinganya,” jelasnya. - UB
Jangan Naikkan Tambang Pengangkutan Awam
Reviewed by JANUARIUS
on
December 02, 2014
Rating:
No comments: