Seo Services

Jambatan Nanga Merit Perlu Dana Tambahan


LIMBANG: Kerajaan pusat diminta meluluskan segera peruntukan tambahan membina jambatan baharu menggantikan jambatan usang dan daif yang menjadi laluan utama pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merit sejak 10 tahun lalu.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, permohonan mendapatkan peruntukan tambahan diutara kepada kerajaan pusat sebelum ini bagi kelulusan memandangkan anggaran baharu pembinaan jambatan itu bernilai lebih RM1 juta.

Katanya sebelum ini ke-rajaan sudah meluluskan RM600,000 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pembinaan jambatan baharu, namun selepas penyerahan tender dilakukan anggaran untuk reka bentuk jambatan melebihi peruntukan sebelum ini.

“Sebelum ini kerajaan pusat sudah meluluskan RM600,000 untuk pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada.

“Namun jumlah itu tidak mencukupi selepas anggaran semula dibuat JKR apabila perbelanjaan pembinaan jambatan itu melebihi RM1 juta,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hasbi menjelaskan, jambatan baharu diselia JKR itu nanti mampu memuatkan kenderaan selain laluan pejalan kaki.

“Pada masa ini kita masih menunggu kelulusan peruntukan tambahan daripada kerajaan.

“Kita berharap ia dapat dilakukan dengan segera memandangkan jambatan sedia ada agak uzur dan berisiko mengancam nyawa pendidik yang melalui jambatan itu saban hari,” tambahnya.

Sebelum ini, katanya jambatan gantung terbabit pernah roboh dan sudah dibaik pulih beberapa kali supaya dapat diguna warga sekolah terbabit.

Beliau turut memohon agar kerajaan negeri dapat membaiki segera kerosakan jambatan terbabit sementara menunggu jambatan baharu dapat dibina.

Masalah jambatan gantung usang menghantui warga SK Nanga Merit pernah disiar akhbar ini awal tahun lepas.

Menurut ibu bapa, anak dan warga pendidik SK Nanga Merit di sini berdepan risiko keselamatan ketika menyeberangi jambatan gantung untuk ke sekolah.

Ini kerana jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu terlalu uzur, rosak dan bergoyang-goyang setiap kali dilalui memandangkan usianya melebihi 10 tahun.

Lebih membimbangkan, jambatan berkenaan bukan sahaja digunakan warga sekolah tetapi orang ramai termasuk ibu mengandung yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari.


Selain usang,lantai jambatan itu banyak yang tercabut serta reput dan paling merisaukannya sejak akhir-akhir ini jambatan itu bergoyang-goyang seolah-olah akan runtuh pada bila-bila masa. - UB
Jambatan Nanga Merit Perlu Dana Tambahan Jambatan Nanga Merit Perlu Dana Tambahan Reviewed by JANUARIUS on January 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.