KUCHING: Bilangan sekolah dan guru agama di Sarawak tidak
mencukupi berbanding permintaan tinggi ibu bapa untuk menghantar anak-anak
mereka ke sekolah aliran agama.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah
Abdullah berkata setakat ini Sarawak mempunyai lapan sekolah rendah agama, dua
sekolah menengah agama bantuan dan tujuh sekolah menengah kebangsaan agama.
“Di Sarawak ketika ini, semakin ramai ibu bapa yang berminat untuk
menghantar anak-anak mereka ke taska, tadika, sekolah rendah dan sekolah
menengah agama.
“Malangnya, dalam ramai ibu bapa yang berminat, peluang untuk
mereka menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah agama adalah terhad.
“Justeru, usaha perlu diambil untuk menambah bilangan sekolah
agama dari peringkat taska, tadika hingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu
sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena lawatan ke Ma’had
Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub di sini semalam bersama rombongan dari Dalat.
Turut serta dalam lawatan itu semalam, Menteri Muda Pendidikan
Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.
Dalam pada itu bagi menangani masalah berkenaan terutama
kekurangan guru agama, Fatimah berkata mutu pendidikan Bahasa Arab perlu
dipertingkatkan dari peringkat rendah lagi.
Dengan langkah ini katanya, kekurangan guru agama dapat diatasi
kerana mempunyai ramai calon yang memenuhi kriteria Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM).
Terdahulu dalam taklimatnya, Guru Besar Ma’had Tahfiz Tun Abdul
Rahman Ya’kub (MATTARY) Yusup Shamat berkata MATTARY dan Tahfiz Tun Abdul
Rahman Ya’kub (TATTARY) adalah ilham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Nama MATTARY atau TATTARY adalah sempena nama bekas Ketua Menteri
Sarawak Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub.
Tujuan utama penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan fardhu
kifayah di Sarawak yang masih kekurangan para huffaz.
Dalam jangka panjang, objektif penubuhan sekolah ini adalah untuk
melahirkan teknokrat dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perubatan dan
arkitek yang menghafal al-Quran. - UB
Penambahan Sekolah Dan Guru Agama Masih Diperlukan Di Sarawak
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 27, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 27, 2015
Rating:

No comments: