PEMAIN industri pelancongan menyambut baik keputusan
beberapa syarikat penerbangan tempatan memansuhkan surcaj bahan api mereka.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta),
Hamzah Rahmat berkata, langkah itu akan menggalakkan lebih ramai untuk
melancong, dengan syarat syarikat penerbangan tidak menaikkan tambang mereka.
"Ini adalah bagus. Emirates telah melakukan perkara yang sama
sebelum ini.
"Saya juga percaya ia sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan pelancongan domestik. Kita bersedia
untuk mencapai hasrat itu," kata Hamzah.
Najib ketika mengumumkan semakan semula Bajet 2015 baru-baru ini
berkata, kerajaan akan mempergiatkan promosi pelancongan domestik menerusi
harga tambang domestik yang kompetitif.
Naib Presiden Matta untuk perjalanan dalam negara, Datuk Tan Kok Liang
bersetuju dengan langkah itu yang merupakan petanda baik buat pelancongan.
"Saya harap MAS (Penerbangan Malaysia) akan turut mengikut langkah
itu," katanya.
Pengendali agensi pengembaraan turut mengalu-alukan pemansuhan surcaj
bahan api yang dilakukan oleh AirAsia, Malindo Air dan Firely, dengan
menyifatkan keputusan itu akan mengembangkan industri pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutif MP Travel and Tours Sdn Bhd, Joe Kok berkata, ia
dapat menggalakkan lebih banyak kehadiran pelancong ke Malaysia.
Beliau menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan akan mengikut
langkah tersebut bagi memastikan tambang terus kompetitif.
Pengarah Urusan Kumpulan Triways Travel Network (M) Sdn Bhd, ohd
Akil Yusof berkata, keputusan syarikat penerbangan untuk memansuhkan surcaj
bahan api adalah tepat pada masanya.
"Ia merupakan berita gembira untuk pengguna dan tepat pada masanya
kerana harga minyak telahpun menurun agak lama," kata Akil, sambil
menambah langkah itu akan memanfaatkan pengusaha agensi pengembaraan yang
menggunakan penerbangan kapal terbang dalam pakej pelancongan mereka.
Pengasas dan pemilik Asian Overland Service Tours and Travel, Anthony
Wong berkata, pemansuhan surcaj bahan api akan menggalakkan pelancongan.
"Ia sudah tentu membantu merangsang pelancongan," kata Wong.
Pengarah Luxury Tours (Malaysia) Sdn Bhd, Arokiadas Anthony
berkata, sebarang langkah untuk menurunkan harga dalam pakej pelancongan akan
membantu industri dalam persekitaran ekonomi semasa. - mStar
MAS Diharap Mengikut Langkah Mansuh Surcaj Bahan Api
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 27, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 27, 2015
Rating:

No comments: