Seo Services

Najib Rasmi Pusat Sains Razak Di Malvern College


MALVERN (England): Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembukaan Pusat Sains Razak di Malvern College, di sini, Isnin, satu penghormatan bukan sahaja kepada beliau dan keluarganya, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Ia satu penghormatan bukan sahaja kepada saya dan keluarga saya tetapi juga kepada rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri dalam ucapannya sebelum bersama-sama adiknya Datuk Johari merasmikan pusat tersebut di kolej berkenaan, di Worcestershire, kira-kira 220km dari London.

Najib melanjutkan pelajaran peringkat menengah di kolej tersebut dari 1968 hingga 1971, sebelum Johari turut belajar di situ kemudian.

Berkongsi nostalgia dengan media Malaysia, Najib berkata beliau melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan pada usia 14 tahun dan itu merupakan kali pertama beliau ke luar negara.

"Saya seorang budak pemalu dan tidak pernah meninggalkan Malaysia sebelum itu. Saya benar-benar tidak tahu apa yang boleh dijangkakan," katanya.

Najib berkata antara sebab mengapa bapanya Tun Razak Hussein, menghantar beliau ke kolej berkenaan kerana Allahyarham bapanya tidak mahu dia dimanjakan kerana beliau (Najib) mungkin dilayan berbeza jika belajar di Malaysia.

"Bapa saya mahu saya berdikari dan membina perwatakan saya," kata Najib sambil menambah bahawa bapanya mahu dia dilayan seperti mana pelajar biasa di kolej tersebut.

Perdana menteri berkata beliau dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di kolej tersebut walaupun pada peringkat awal, ia bagaikan satu kejutan baginya.

"Belajar dalam budaya dan persekitaran yang berbeza telah mengajar saya untuk bagaimana menyesuaikan diri dengan keadaan.

"Saya berasa selesa apabila bercakap dengan Obama (Presiden Amerika Syarikat Barack Obama), Cameron (Perdana Menteri Britain David Cameron) dan Xi Jinping (Presiden China)," katanya.

Bekas guru ekonomi Najib, Simon Wilkinson, 75, yang turut hadir pada majlis tersebut, berkata beliau masih ingat bahawa Najib merupakan seorang pelajar yang baik dan pemain bola sepak yang hebat.

"Saya mengagumi beliau (Najib) dan saya berbangga dengan beliau," kata Wilkinson.

Kolej berkenaan mempunyai 360 pelajar termasuk empat rakyat Malaysia dan menurut seorang pelajar Malaysia Junyi Kwan, 18, yang kini mengikuti pengajian A-level di sini, ia satu yang bermakna dapat melihat perdana menteri kembali ke kolej lamanya itu.

Najib dan Johari juga melawat House No 2 di mana Najib tinggal di asrama tersebut semasa zaman persekolahannya di kolej berkenaan serta makan tengah hari bersama kakitangan kolej dan tetamu di sana.

Najib tiba di sini semalam dari Riyadh, selepas menghadiri majlis pemakaman Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz yang mangkat pada pagi Jumaat.

Perdana Menteri yang dijadualkan menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos dari 22 hingga 24 Jan, terpaksa memendekkan lawatan beliau ke sana untuk bergegas ke Riyadh.

Najib berkata beliau memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz dan mengucapkan tahniah kepada Raja Salman Abdulaziz semasa lawatan beliau ke Riyadh.

"Hubungan dengan Arab Saudi amat penting dan saya ada hubungan yang baik dengan Raja Abdullah. Baginda pernah mengurniakan anugerah tertinggi Arab Saudi kepada saya," kata Najib.

Najib menerima anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi iaitu Anugerah Raja Abdulaziz Kelas Pertama pada 2010.- BERNAMA
Najib Rasmi Pusat Sains Razak Di Malvern College Najib Rasmi Pusat Sains Razak Di Malvern College Reviewed by Unknown on January 27, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.