Seo Services

Peruntukan RM540 Juta Untuk Bantuan Persekolahan


SADONG JAYA: Sejumlah RM540 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk bantuan persekolahan kepada pelajar di seluruh negara.

Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri berkata, bantuan tersebut merupakan usaha Kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat di negara ini.

"Kita harus bersyukur kerana tidak ada negara lain di dunia yang memperuntukkan sejumlah wang untuk bantuan seumpama ini kepada rakyatnya dan diharapkan ibu bapa menggunakan wang ini dengan bijak untuk persekolahan anak-anak."

"Sebab itulah kita harus terus menyokong apa jua usaha yang dilakukan Kerajaan bagi membolehkan rakyat di negara ini mendapat lebih banyak manfaat yang sepatutnya hasil daripada perancangan ekonomi yang baik," katanya lagi.

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Program Kembali ke Sekolah dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di SK Iboi/Pelandok Sadong Jaya sebentar tadi.

"Bagi Malaysia, ketibaan tahun 2015 telah disusuli dengan pelbagai cabaran banjir khususnya, saudara-saudara kita di beberapa buah negeri di Semenanjung yang terjejas namun begitu, syukur kerana di Sarawak pembukaan sesi persekolahan untuk tahun ini berjalan dengan lancar."

"Di samping kehilangan rumah kediaman, musibah banjir telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan sekolah, perkakas sekolah serta bilik-bilik darjah," katanya lagi.

Nancy berkata, sesungguhnya rakyat harus bersyukur kerana mempunyai Kerajaan yang bertindak segera dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa serta menghulurkan bantuan kemanusiaan.

"Bantuan Kerajaan tidak hanya terhenti di situ, malah sehingga ke hari ini, bantuan terus diberikan termasuk RM18 juta untuk membaiki semua sekolah yang rosak serta bantuan khas RM500 juta kepada mangsa banjir di Kelantan," katanya lagi sambil menambah semua ini dilakukan tanpa mengambilkira perbezaan ideologi politik negeri itu.

"Pihak berkuasa telah melakukan sehabis daya mengerahkan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas namun, apa yang menyedihkan ialah, maklumat ini dimanipulasikan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan politik."

"Maka wujudlah cerita-cerita palsu sehingga mengundang keresahan dan keraguan rakyat terhadap pasukan petugas banjir," jelasnya lagi.

Berharap perkara ini tidak berlaku di Sarawak sekiranya berdepan dengan sebarang kecemasan, Nancy mengingatkan rakyat harus mengambilnya sebagai iktibar dan teladan agar kita tidak mudah terpengaruh dengan muslihat dan tipu helah di media sosial.

"Kerajaan memandang serius fitnah yang disebarkan melalui media sosial dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dan sehingga kini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini sedang menyiasat 10 kes penyebaran berita palsu banjir yang telah dikenalpasti."

Dalam perkara berkaitan, Nancy berkata, musibah banjir adalah di luar jangkaan maka ianya akan menjejaskan perancangan pada bajet 2015 kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memulihkannya kembali.

"Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak berkemungkinan akan melakukan pindaan untuk mengatur semula perbelanjaan negara dan ini pasti akan akan dimanipulasikan dan diputarbelit oleh sesetengah pihak yang sengaja mahu menimbulkan perasaan tidak senang hati dan benci di kalangan rakyat terhadap Kerajaan BN."

"Saya berharap agar penduduk di Parlimen P200 Batang Sadong tidak mudah terpengaruh dengan provokasi di media sosial kerana ia bagaikan menjadi rutin mereka (pihak yang tidak bertanggungjawab) untuk menjatuhkan Kerajaan menggunakan apa jua cara agar mereka dapat menjadi pemerintah negara ini."

"Sekiranya ianya terjadi, bersatulah dengan penuh semangat cintakan negara kerana dengan bersatu hati, kita akan dapat menyelamatkan negara ini daripada ditadbir oleh pihak yang mempunyai agenda dan perjuangan yang tersendiri yang boleh menyebabkan masa depan anak cucu kita pada masa hadapan, tergadai," katanya lagi.

Buat Parlimen Batang Sadong, Nancy memberi jaminan beliau akan meletakkan KPI kepada dirinya sendiri agar perubahan dari pelbagai sudut bukan sahaja dari segi pembangunannya, malah pendidikan serta kejayaan melahirkan modal insan kelas pertama di kawasn tersebut.

Dalam majlis tersebut yang juga di hadiri oleh ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, seramai 500 orang murid tahun satu dari 11 buah sekolah di kawasan DUN Sadong Jaya menerima bag sekolah. - Sarawakiana
Peruntukan RM540 Juta Untuk Bantuan Persekolahan Peruntukan RM540 Juta Untuk Bantuan Persekolahan Reviewed by Salfian Nawawi on January 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.