CAMBRIDGE: Cambridge mengikat kelab berprestij, Manchester United pada perlawanan pusingan keempat Piala FA yang berakhir seri tanpa jaringan ketika beraksi di tempat sendiri awal pagi tadi sekali gus memberi bekalan kelebihan pada aksi ulangan di Old Trafford.
Radamel Falcao dan Robin van Persie masing-masing mensia-siakan peluang terbaik pada babak masa kedua pada ketika anak buah Louis van Gaal sering dikecewakan dengan persembahan cemerlang Cambridge yang kini menduduki tempat ke-12 dalam Liga Dua.
Keputusan seri berkenaan bermakna kelab itu akan bertemu sekali lagi, kali ini gelanggang keramat United bagi menentukan pemenang.
Ketika United hadir sebagai skuad pilihan, perlawanan ulangan berkenaan sudah dianggap kejayaan bagi Cambridge kerana dapat berkongsi keuntungan hasil jualan tiket di stadium yang boleh menampung 75,000 orang penonton.
"Ini sudah tentu menjadi suatu realiti. Beraksi di Old Trafford. Tidaklah teruk sangat, betul tak? Jika seri menjadi keputusan yang kami idamkan dan tentu sekali kami akan dapat," kata pemain tengah Cambridge, Ryan Donaldson.
Van Gaal merehatkan Wayne Rooney dan Juan Mata pada perlawanan berkenaan tetapi masih menurunkan kesebelasan terkuat.
Namun, tuan rumah ternyata mampu mengekang terkaman juara Piala FA 11 kali itu pada babak pertama dan hampir berada di depan apabila tandukan Josh Coulson hanya sedikit melepasi palang selepas pergelutan di depan gawang sebaik sepakan sudut diambil.
Biarpun pelawat menguasai permainan selepas rehat babak pertama tetapi penjaga gol Cambridge, Chris Dunn harus dipuji kerana menyelamatkan percubaan Falcao dari jarak dekat.
Van Persie dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menyuntik kekuatan bahagian serangan United dan peluang terbaiknya muncul pada minit ke-71 apabila mendapat lorongan daripada Angel Di Maria tetapi rembatan volley melepasi palang dari jarak cuma lima meter.
Dunn kemudiannya menumbuk keluar bola hantaran berbahaya Adnan Januzaj pada masa kecederaan sebelum terpaksa merebahkan badan untuk menyelamatkan sepakan leret Di Maria.
"Perlawanan yang adil, Cambridge memang beri tentangan terbaik kepada kita. Memang mengecewakan kerana kami nak menang tapi masa yang sama masih perlu terus berjuang dan menempuh perlawanan ulangan," kata pemain tengah United, Michael Carrick. - AP
Piala FA: Cambridge Sekat Man United Catat Kemenangan
Reviewed by Unknown
on
January 24, 2015
Rating:
No comments: