MIRI: Kerajaan akan mempercepatkan proses pemberian bantuan kepada semua mangsa banjir di negeri ini yang akan menerima bantuan sama seperti diterima mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata apa sahaja bentuk bantuan diberi kepada mangsa banjir di Pantai Timur yang membabitkan negeri Kelantan, Perak dan Terengganu turut disalur kepada semua mangsa banjir di sini termasuk Sabah.
Muhyiddin memberitahu, kerajaan persekutuan akan menyalurkan bantuan termasuk bantuan wang RM500 untuk setiap isi rumah mangsa banjir sama ada berpindah atau sebaliknya.
“Dan, ihsan RM5,000 untuk membantu keluarga yang kehilangan nyawa akibat banjir. Bantuan ini akan dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Lapangan Terbang Miri selepas meninjau keadaan banjir di Limbang, semalam.
Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.
Beliau berkata, selain itu, bantuan turut diberi untuk membaiki rumah sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 termasuk membina semula rumah dihanyutkan arus dan bantuan perniagaan untuk peniaga kecil, penternak serta nelayan sungai yang terjejas.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut berpuas hati dengan kecekapan kerajaan Sarawak dalam menangani bencana banjir.
“Hasil lawatan saya ke Sarawak, saya berpuas hati kerana mangsa banjir mendapat bantuan mencukupi, kawasan penempatan selesa dan kadar kemalangan kecil iaitu hanya satu kes,” katanya.
Terdahulu di Limbang, rancangan lawatan kerja Muhyiddin ke pusat pemindahan banjir di Tedungan dan Dewan Kampung Bidang terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk.
Hujan lebat dan awan tebal yang melanda kawasan Batu Danau petang semalam menyebabkan helikopter yang dinaiki beliau terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Limbang.
Beliau yang tiba di Limbang pada jam 2 petang semalam, sempat menghadiri taklimat banjir di Pejabat Residen sebelum dijadualkan melawat pusat pemindahan banjir pada jam 4 petang.
Namun, cuaca buruk menyebabkan helikopter yang dinaiki beliau terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Limbang sebelum terbang ke Miri bagi menghadiri sidang akhbar. - UB
Bantuan Kepada Mangsa Banjir Akan Dipercepatkan
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 24, 2015
Rating:

No comments: