KUCHING: Mangsa banjir di Sarawak akan menerima bantuan yang sama
seperti mangsa banjir di Semenanjung Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau bagaimanapun berkata, segala maklumat berkaitan mangsa
termasuk jenis bantuan yang akan disalurkan perlu dikenal pasti terlebih
dahulu.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap pendaftaran mangsa banjir
dibuat secara terperinci bagi mengelak ada kalangan mereka yang tercicir
daripada menerima bantuan sepatutnya.
“Tiada beza bantuan yang diterima mangsa banjir di Semenanjung
Malaysia.
“Mangsa banjir di Sarawak turut menerima bantuan sama seperti
diumumkan kerajaan persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat
Pengurusan Bencana Banjir Negeri di sini, semalam.
Shahidan berkata, keperluan logistik di Sarawak juga akan ditambah
memandangkan keadaan geografi negeri ini berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
“Kita akan usahakan setiap keperluan mangsa banjir termasuk dari
segi memberi bantuan,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 1,650 jaket keselamatan juga akan dibekalkan
kepada negeri ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya akan berusaha sebaik
mungkin agar bantuan dapat disampaikan kepada mangsa dengan selamat.
“Kita sedia maklum, Sarawak merupakan negeri yang besar dan
mungkin penyaluran bantuan sukar.
“Namun, kita tetap optimis setiap bantuan dapat disampaikan kepada
mangsa dengan kadar segera,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred
Jabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul
Ghani. - UB
Sarawak Akan Menerima Bantuan Yang Sama
Reviewed by JANUARIUS
on
January 21, 2015
Rating:
No comments: