KUCHING: Kerajaan negeri akan terus menggunakan kuasa autonomi imigresen bagi melindungi kepentingan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan menggunakan hak tersebut untuk mengharamkan orang yang berpandangan ekstremis (mengenai agama atau kaum) daripada memasuki negeri ini.
"Bukanlah kita takut kepada mereka tetapi kita perlu melindungi rakyat kita sendiri," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan geran projek kecil luar bandar berjumlah RM352,000 kepada 28 badan bukan kerajaan di sini hari ini.
Abang Johari berkata sekiranya mereka ini dibenarkan masuk, dikhuatiri akan mengganggu perpaduan dan hubungan sesama masyarakat yang telah lama wujud.
Bulan lepas, negeri ini mengharamkan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Ridhuan Tee Abdullah, yang dianggap sebagai penceramah kontroversi, daripada memasuki Sarawak.
Ridhuan, dijadualkan memberikan ceramah di masjid mukim Sematan, sebagai satu daripada acara program 'Jom Bersantai Sematan'.
Sementara itu, Abang Johari berkata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah menunjukkan bahawa kerajaan pimpinannya berorientasikan rakyat.
Adenan telah memfokuskan beberapa isu utama seperti memerangi pembalakan haram dan rasuah selain melaksanakan pengurangan kadar tarif elektrik, katanya.
"Pembalakan haram merupakan masalah serius. Langkah pencegahan amat diperlukan bagi menghentikan penebangan hutan melampaui batas yang boleh menyebabkan hakisan tanah serta banjir," katanya.- BERNAMA
Sarawak Terus Guna Autonomi Imigresen Bagi Lindungi Rakyatnya
Reviewed by Unknown
on
January 16, 2015
Rating:
No comments: