PETALING JAYA: Polis telah merekodkan 11 keterangan berhubung kes kematian bekas pengurus Alleycats, Stephen Joseph.
Mangsa meninggal dunia selepas berlaku perselisihan faham di Jalan SS2/63 pada 4 Januari lalu.
Joseph, 54, dilaporkan berselisih faham dengan seorang pemandu kereta Proton Saga berwarna putih di sebuah medan selera, lokasi dia dan isterinya, Mary Ooi, 53, mencari tempat letak kereta mereka.
Suspek yang disifatkan sebagai 'berbadan besar dan memakai baju-T, pada waktu kejadian kira-kira pukul 7.30 malam di sebuah tempat letak kereta di hadapan medan selera tersebut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, keterangan tersebut direkodkan daripada ahli keluarga Joseph, saksi dan orang ramai yang tampil dengan bukti untuk membantu siasatan kes itu.
Terdahulu, seorang saksi dilaporkan menyerahkan kepada polis satu rakaman selama 11 saat menunjukkan situasi yang membawa kepada kematian Joseph.
Azmi berkata polis bekerjasama dengan jabatan forensik untuk mengenal pasti kebenaran klip video tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari lokasi kejadian.
Beliau enggan mendedahkan maklumat mengenai kes tersebut dengan menegaskan polis masih memburu suspek.
"Mendedahkan setiap maklumat mengenai kes itu akan mengganggu siasatan kami. Percayalah, kami sedang mengesan suspek," katanya.
Azmi menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu supaya menghubungi balai polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222. - mStar
Sebanyak 11 Keterangan Diambil Bantu Siasatan Kes Kematian Bekas Pengurus Alleycats
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 17, 2015
Rating:
No comments: