KUCHING: Golongan belia perlu dibentuk dengan baik kerana mereka
merupakan tunjang kepimpinan negara pada masa depan, kata Menteri Kebajikan,
Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Menurutnya, sehubungan itu, golongan belia harus melengkapi diri
masing-masing dengan segala pengetahuan kepimpinan.
“Sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan oleh golongan belia
untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin maka negara akan
ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di
peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Kem Kepimpinan
Belia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya di sini semalam.
Fatimah berkata sokongan semua pihak termasuk sektor korporat
diperlukan dalam menganjurkan program berbentuk kepimpinan bagi memperkasakan
golongan itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Emart
dengan penganjuran kem ini dan berharap ia dapat diperluaskan ke sekolah lain
pada masa akan datang,” katanya.
Pada masa sama beliau menasihati golongan belia agar mempunyai
jati diri sebagai rakyat Malaysia dan bersikap terbuka untuk menjadi seorang
pemimpin yang berwibawa.
Selain itu, katanya ciri kreatif dan inovatif juga perlu
dititikberatkan untuk memacu pembangunan sesebuah negara yang harus ada pada
diri seorang pemimpin.
“Kesemua ini memerlukan pendedahan iaitu menerusi program atau kem
kepimpinan, justeru saya berharap lebih ramai sektor dan badan korporat
menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menganjurkan
program seumpama ini,” ujarnya.
Kem anjuran Emart itu disertai 222 pelajar tingkatan satu hingga
enam SMK Matang Jaya.
Hadir sama Pengetua SMK Matang Jaya Zakiah Abdul Hamid dan
kakitangan pengurusan Kumpulan Emart. - UB
Belia Tunjang Kepimpinan Negara Masa Depan
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
February 02, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
February 02, 2015
Rating:

No comments: