SEKITAR Ogos tahun lalu, pelawak terkenal
dari kumpulan Senario, telah dimasukkan ke Hospital Damansara kerana masalah
batu dalam hempedu.
Baharu sahaja mengetahui akan penyakit yang
menyerangnya itu, Azlee atau nama sebenarnya, Mohd Azlee Jaafar, segera melakukan
pembedahan agar ianya tidak merebak lebih teruk sehingga menyukarkan pergerakan
dan kesihatan.
Berpeluang bertemu dengan penghibur ini di
majlis pelantikannya sebagai duta sejenis produk makanan kesihatan keluaran RCC
Global di Hotel de Palma, Azlee memberitahu bahawa tahap kesihatannya kini
bertambah baik.
“Alhamdulillah, setelah menjalani pembedahan
kecil itu, saya kembali sihat seperti biasa dan dapat meneruskan aktiviti dan
kerja-kerja seni.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengidap
sebarang penyakit lain dan batu dalam hempedu ini berpunca kerana silap makan,”
katanya yang baharu sahaja dilantik sebagai duta bermula 1 Januari lalu.
Bertanya mengenai pelantikan itu, Azlee
memberitahu sebelum ini dia pernah ditawarkan untuk menjadi duta produk, namun
terpaksa ditolak atas sebab-sebab tertentu.
“Sebagai selebriti, saya tidak boleh main
‘cekau’ sahaja apa-apa tawaran kerana ia melibatkan nama saya. Jadi, saya hanya
akan bersetuju sekiranya ia memberi faedah dan kebaikan yang boleh dikongsi
kepada kesemua lapisan peminat saya.
“Untuk RCC Global, saya yakin, produk ini
mampu memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat di mana ia adalah produk
makanan kesihatan. Saya mula mengamalkan produk, pemanis semula jadi Stevia
sejak tahun lalu.
“Selepas ini, saya akan bersama-sama RCC
Global dalam mengembangkan lagi penggunaan produk pengganti gula ini dan
menyertai aktiviti yang dianjurkan,” katanya yang dilantik selama setahun.
Senario belum terkubur
Meskipun nama kumpulan ini semakin sepi dari
dunia komedi dengan lahirnya kumpulan-kumpulan baharu, namun sehingga kini
Senario masih lagi bernafas.
Menurut Azlee, dia, Wahid dan Lan masih lagi
menganggotai kumpulan itu namun masing-masing lebih terikat kepada undangan
pengacaraan secara individu.
“Senario masih lagi bertahan hingga ke hari
ini dan tidak lama lagi, kami akan muncul dengan projek animasi, Senario Toons
sebanyak 13 episod untuk siaran televisyen.
“Ianya berkisarkan mengenai sekumpulan kanak-kanak
yang bersekolah dan tinggal di kampung yang sama. Malah, ianya juga akan
menyelitkan kisah-kisah sebenar Senario.
“Sehingga kini, kami telah menyiapkan enam
episod. Insya-ALLAH, kami ada merancang untuk membuat ‘comeback’ malah teringin
juga untuk bersama pelawak lain di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM),” katanya
yang berhasrat untuk mengumpulkan kesemua bekas anggota Senario termasuk Apek,
Yassin, Hamdan dan Ilya.
Dalam perkembangan lain, Azlee juga kini giat
menguruskan syarikat sendiri, GE Events Management yang mula beroperasi sejak
tahun lalu.
“Sebelum saya menamatkan kontrak bersama TV3,
saya menubuhkan syarikat ini sebagai salah satu punca pendapatan lain.
“Menerusi syarikat pengurusan acara ini, saya
telah menyempurnakan beberapa majlis gemilang terutamanya untuk kerajaan
Johor,” katanya lagi. – Sinar
Derita Berakhir, Azlee Dedah Rahsia Kembali Pulih
Reviewed by JANUARIUS
on
February 10, 2015
Rating:
No comments: