Seo Services

Hukuman Penjara Anwar Kekal Lima Tahun

Debaran serta penantian banyak pihak yang mengikuti perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim berakhir pada Selasa selepas ahli parlimen Permatang Pauh itu kekal didapati bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang akan kembali merengkok dalam penjara dengan hukuman asal penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas rayuan pihak pendakwa.

Hukuman itu sekaligus menghilangkan kelayakan Anwar sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Peguam utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam rayuannya meminta hakim Mahkamah Persekutuan mengambil kira sumbangan Anwar kepada demokrasi Malaysia, termasuk ketika dia bersama kerajaan sebelum ini.

Katanya, tiada sebab yang baik untuk menambah hukuman berdasarkan fakta kes.

Bagaimanapun,  ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Shafee Abdullah berkata, hukuman maksimum selama 20 tahun tetapi hukuman rotan tidak relevan.
Shafee dalam hujahnya tidak menolak sumbangan Anwar kepada kerajaan tetapi kesalahan itu serius.

Beliau mahu Anwar dikenakan hukuman sekurang-kurangnya enam tahun.

Anwar kemudian mengemukakan hujahnya bahawa  beliau tetap tidak bersalah dan kes ini suatu konspirasi politik bagi menyekat cita-citanya sebagai perdana menteri.

Hakim kemudian memutuskan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan terhadap Anwar kekal walaupun sebelum itu beliau cuba menuduh hakim tunduk kepada tuan politik.

Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria dalam penghakimannya sebelum ini berkata, terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat, justeru itu rayuan terhadap sabitan itu ditolak.

Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ.

Hakim juga berkata “tiada merit” bagi dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu.

“Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, kira-kira jam 2.30 tengahari, di luar Istana Kehakiman Putrajaya, kira-kira 1,000 penyokong Anwar berkumpul di pintu belakang kompleks mahkamah, sambil melaungkan slogan popular pembangkang “Reformasi” dan “Hidup Anwar”.

Pasukan antirusuhan FRU bersedia di kawasan perkarangan Istana Kehakiman dengan dua kenderaan meriam air dan dua buah trak pasukan itu bagi berdepan kejadian tidak diingini susulan hukuman itu.

Mahkamah Persekutuan menyambung semula prosiding berhubung kes liwat Anwar Ibrahim pada jam 1.08 tengah hari ini.

Prosiding itu disambung semula dengan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai sepasukan 15 peguam, membuat penghujahan berikutan keputusan bersalah yang diumumkan mahkamah sebelum itu.-bnbbc
Hukuman Penjara Anwar Kekal Lima Tahun Hukuman Penjara Anwar Kekal Lima Tahun Reviewed by Unknown on February 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.