KUCHING: Sarawak hanya mencatat satu kes iaitu di Limbang, peniaga yang tidak mematuhi arahan semasa dibawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Tahun Baharu Cina 2015 setakat ini.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Abd Hafidz A.Rahim berkata jika dibandingkan dengan jumlah tahun lepas, ia adalah berkurangan.
“Semasa perayaaan TBC kami telah memeriksa sebanyak 4,972 premis di seluruh negeri sama ada di bandar atau luar bandar bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga mendapat manfaat.
“Pemeriksaan sehingga ke Limbang dan di sana (Limbang) terdapat satu kes tidak mematuhi arahan untuk musim perayaan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan operasi berhubung SKHMP TBC 2015 yang disertai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais di Pasar Komuniti Stutong di sini, semalam.
Tambah Abd Hafidz, pihaknya tidak akan mengenakan denda terus kepada peniaga sebaliknya mengambil pendekatan mendidik mereka terlebih dahulu.
“Kami akan mendidik peniaga dan memberi senarai harga supaya mereka mematuhi arahan ditetapkan.
“Namun sekiranya mereka degil, kami akan bertindak tegas dan di sini kami memberi amaran kepada mereka sekiranya peniaga menyalahi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang membawa denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.
Abd Hafidz berkata, pihaknya akan terus mengerahkan pegawai penguat kuasa seramai 162 orang terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di seluruh negeri sepanjang TBC.
Katanya SKHMP TBC 2015 telah berkuat kuasa sejak 14 Februari hingga 25 Februari ini iaitu sepanjang 12 hari bagi memastikan tidak ada peniaga ingkar arahan ditetapkan.
Di bawah SKHMP kerajaan mewajibkan peniaga mematuhi arahan termasuk menjual barangan harga terkawal pada harga kawalan atau pada satu harga tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan.
Selain itu peniaga harus meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan kawalan bagi membezakannya dengan barangan lain.
Peniaga juga perlu mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual. - UB
Majoriti Peniaga Di Sarawak Patuhi Skim Kawalan Harga
Reviewed by Salfian Nawawi
on
February 18, 2015
Rating:
No comments: