Seo Services

Pendengaran Awam PPPM 2015-2025 Penting, Wujud Pelajar Holistik


KOTA SAMARAHAN: Pendengaran Awam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2015-2025), Pendidikan Tinggi penting bagi mewujudkan pelajar universiti yang holistik di negara ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, segala pandangan yang disuarakan rakyat menerusi pendengaran awam itu akan diambil kira sebelum pelan berkenaan dilancarkan penghujung Mac nanti.

“Pada hari ini (semalam) kita berjaya menganjurkan program Pendengaran Awam PPPM 2015-2025 bagi Pendidikan Tinggi dan segala pandangan yang diberikan akan diambil kira dalam pelan ini sebelum kita melancarkannya pada hujung Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Pendengaran Awam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) di DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Sesi pendengaran awam itu semalam dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri daripada kalangan pensyarah, ketua masyarakat, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Menurut Idris sesi pendengaran itu dijalankan di seluruh negara bagi mengumpul semua pandangan rakyat berkaitan pelan berkenaan supaya ia dapat dijadikan satu pelan yang menyeluruh untuk membangunkan lagi kualiti pendidikan tinggi di negara ini.

Malah, beliau berkata pendengaran awam itu juga bagi menyelaraskan PPPM 2015-2025 bagi pendidikan tinggi dengan pendidikan sekolah.

“Pada 1 Mac nanti satu pendengaran awam yang akhir akan diadakan sebelum kita lancarkan pelan ini pada akhir bulan Mac nanti,” tambahnya.

Selain sesi pendengaran awam, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah memuat naik maklumat berkaitan PPPM 2015-2025 di laman kementerian itu.

“Justeru, orang awam juga boleh memberi pandangan di laman kementerian yang telah dimuat naik dua bulan lepas,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa 10 anjakan penting diketengahkan untuk melahirkan pelajar yang bersifat keusahawanan dan menyeluruh selain tenaga pengajar yang berkualiti.

“Kita juga memberi kelebihan autonomi kepada universiti untuk memastikan pengurusan kewangan serta pentadbiran yang lebih lestari,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kualiti pendidikan tinggi di negara ini akan terus membangun sekali gus menjadi tumpuan khususnya pelajar dari luar negara.

“Kita lihat usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah langkah untuk memastikan pelajar kita mendapat kualiti pendidikan yang terbaik kerana kita sudah menjadi nombor sembilan tumpuan pelajar dari luar untuk menuntut di sini.

“Ini merupakan perkembangan positif yang berlaku dalam negara kita yang membuktikan kualiti pendidikan tinggi di negara kita semakin meningkat,” katanya.

Hadir sama pada sesi pendengaran itu semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Pendidikan Kedua Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Timbalan Naib Canselor UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman dan tetamu kehormat lain. - UB
Pendengaran Awam PPPM 2015-2025 Penting, Wujud Pelajar Holistik Pendengaran Awam PPPM 2015-2025 Penting, Wujud Pelajar Holistik Reviewed by Salfian Nawawi on February 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.