Seo Services

Sebanyak 67 Lesen OT Pembalakan Dibatal, Tidak Diperbaharui


KUCHING: Kerajaan negeri kini sudah membatalkan atau tidak memperbaharui 67 lesen OT (Tiket Pekerjaan) sebagai antara langkah membanteras pembalakan haram di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata jumlah tersebut melibatkan lebih separuh daripada keseluruhan pemegang lesen.

“Kami telah membatalkan atau tidak memperbaharui 67 lesen OT di mana ada yang sudah tamat tempoh dan tidak akan diperbaharui.

“Ada yang memohon pembaharuan tetapi kami tolak… kami mahu mengurangkan jumlahnya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-43 di Dataran MJC, Bandar Baharu Batu Kawa di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Pengarah RELA Lukeman Saaid, Menteri Sumber Manusia selaku Pesuruhjaya RELA Sarawak Datuk Seri Richard Riot Jaem, Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Seri Khalid Abu Bakar serta beberapa menteri persekutuan dan negeri.

Selain itu, Adenan berkata kerajaan negeri juga akan mengeluarkan notis kepada kilang papan supaya tidak menerima kayu balak yang dicuri.

Dalam pada itu, beliau menambah akan turut mengurangkan jumlah ‘log pond’ iaitu tempat penyimpanan kayu dan usaha berkenaan akan terus dipertingkatkan.

Terdahulu, Adenan mahu anggota RELA di seluruh negeri ini terlibat sama dari sudut maklumat dalam usaha membanteras kegiatan pembalakan haram.

“Saya minta RELA supaya membantu menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melapor kepada pihak berkuasa jika ada melihat atau mengetahui apa-apa kegiatan pembalakan haram di kawasan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab dalam operasi membanteras pembalakan haram ialah polis, Jabatan Hutan, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Maritim, PUSAKA dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

“Kami sekarang sedang membanteras pembalakan haram dan sudah membuat beberapa tangkapan serta rampasan sejak enam bulan lalu iaitu hampir setiap hari… ini menunjukkan betapa besarnya masalah ini.

“Pada masa sama, orang ramai sekarang lebih kerap tampil ke hadapan dan ada pengurangan dalam penebangan haram dan penyeludupan kayu.

“Usaha ini tidak akan dilonggarkan sehingga kita menyelesaikannya,” katanya. - UB
Sebanyak 67 Lesen OT Pembalakan Dibatal, Tidak Diperbaharui Sebanyak 67 Lesen OT Pembalakan Dibatal, Tidak Diperbaharui Reviewed by Salfian Nawawi on February 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.