Seo Services

Piala FA: Man United Leburkan Kemaraan Cambridge



LONDON: Manchester United mengatasi kelab divisyen keempat Cambridge 3-0 pada perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi selepas seri tanpa jaringan pada pertemuan kira-kira dua minggu lalu.

Juan Mata, Marcos Rojo dan James Wilson yang dimasukkan pada babak separuh masa kedua masing-masing menyumbatkan gol untuk membawa United ke pusingan kelima bagi menentang kelab divisyen tiga, Preston.

"Saya fikir ini adalah peluang terbaik kami untuk merangkul gelaran," kata pengurus United, Louis van Gaal.

Walaupun Cambridge gagal mengikut jejak pemusnah yang dipamerkan Bradford dan Middlesbrough apabila masing-masing menyingkirkan Chelsea dan Manchester City pada saingan pusingan keempat, mereka beroleh peluang awal untuk meraih jaringan di Old Trafford.

Selepas permainan baharu berlangsung 50 saat, pemain pertahanan United, Daley Blind tersalah langkah dan membiarkan Tom Elliott lolos di depan gawang.

Bagaimanapun, penyerang Cambridge itu seperti tidak bersedia apabila beroleh peluang untuk menjaringkan gol di Old Trafford. Dia sempat menyepak bola dengan kaki kanan melepasi penjaga gol, David de Gea.

Tuan rumah amat bernasib baik apabila sepakan itu tidak cukup kencang dan terkena palang yang bola kemudiannya melantun.

United kembali mempamerkan rentak berbisa tetapi formasi 4-1-4-1 seperti belum mencukupi untuk merobek pertahanan pelawat.

Aksi Wayne Rooney di sebelah kanan memberi peluang pertama United tetapi percubaannya lemah.

Namun pertahanan pelawat akhirnya roboh pada minit ke-25. Angel di Maria menghantar umpanan bijak kepada Paddy McNair yang kemudiannya meneruskan gerakan.

Marouane Fellaini berjaya mengawal bola untuk menguis kepada Mata dan terus menyepak masuk untuk gol pembukaan tuan rumah.

Tujuh minit kemudiannya penyokong United terus menarik nafas lega apabila berjaya menambah jaringan.

Percubaan Fellaini berjaya disekat tetapi bola singgah di kaki Robin van Persie dan kemudiannya melorong umpanan kepada Rojo yang menjaringkan gol pertama peribadi untuk kelab itu.

Pada babak separuh masa kedua, Cambridge bertambah lesu. De Gea menyelamatkan tandukan Robbie Simpson dan masa yang sama pelawat jarang melepasi garisan tengah.

Selepas Di Maria dan Van Persie dikeluarkan, pemain gantian pula berhasil menjaringkan gol ketiga pada minit ke-73.

Ander Herrera melepasi benteng pertahanan Cambridge dan menguis bola kepada Wilson, yang merembat leret yang kencang menewaskan penjaga gol Chris Dunn.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan ulangan pusingan keempat, Sunderland bangkit untuk menundukkan Fulham 3-1. - AP
Piala FA: Man United Leburkan Kemaraan Cambridge Piala FA: Man United Leburkan Kemaraan Cambridge Reviewed by Unknown on February 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.